Minda Hijrah Headline Animator

Monday, January 28, 2013

TERKINI - Laporan awal DNA sahkan mayat William Yau

Laporan awal ujian DNA oleh Jabatan Kimia mengesahkan mayat kanak-kanak lelaki yang ditemui di Pelabuhan Klang pada 24 Jan lalu adalah William Yau Zhen Zhong.

Ini dinyatakan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Yahaya Bin Ramli pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Subang Jaya hari ini.

"Laporan (itu mengesahkan) mayat itu adalah William," katanya.

William, 6, anak kedua pasangan Goh Ying Ying, 28, dan Yau Kok Kang, 32, dilapor hilang pada 16 Jan di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights, Subang Jaya selepas dipercayai keluar daripada kenderaan untuk mencari ibu bapanya yang singgah di sebuah kedai barangan elektrik.

Pada 24 Januari, mayat seorang kanak-kanak lelaki lengkap berpakaian ditemui di Jeti Kampung Sungai Sireh, Pelabuhan Klang oleh seorang nelayan pada 6.30 petang, sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk bedah siasat.

Proses bedah siasat yang dilakukan pada 25 Januari bagaimanapun gagal mengenal pasti punca sebenar kematian kanak-kanak itu kerana keadaan mayat dan organ dalaman yang reput. Kanak-kanak itu disahkan telah mati kira-kira seminggu ditemui.

Pada hari sama, ibu bapa William mengesahkan mayat kanak-kanak itu sebagai anak mereka berdasarkan penemuan dua parut di belakang kepala dan satu di dahi mangsa, selain penemuan seluar dalam milik William yang dipakai kanak-kanak itu.

Pada ketika itu, siasatan awal polis mendapati mayat kanak-kanak itu 75 peratus menyerupai William.

Berita kehilangan William turut mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memohon kerjasama seluruh rakyat Malaysia bagi mencari William.

Sehubungan itu, satu pasukan khas ditubuh polis bagi mencari dan mengesan William di kawasan sekitar Putra Heights dalam operasi yang turut disertai Unit K9 dan mendapat kerjasama Alam Flora yang mengarahkan lebih 3,500 warga kerja mengesan William. - Bernama

No comments:

Post a Comment