Minda Hijrah Headline Animator

Wednesday, January 23, 2013

[Pakatan Jahat & Kotor] MB: Selangor beku Capex Syabas

Di sebalik krisis air di Lembah Klang, Kerajaan Negeri Selangor membekukan perbelanjaan modal (Capex) Syabas atas alasan ia gagal memenuhi tanggungjawab dalam perjanjian konsesi.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pihaknya akan meneruskan usaha untuk mengambil alih perkhidmatan industri air dari syarikat konsesi dan telah pun membuat persiapan sewajarnya sekiranya Kerajaan Pusat membenarkan pengambilalihan ini.

"Kita akan terus memantau kecekapan pengurusan Syabas dan tidak akan berdiam diri ketika Syabas gagal memenuhi tanggungjawab mereka seperti yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi.

"Justeru, keputusan kerajaan negeri membekukan Capex kecuali kerja-kerja kecemasan adalah bersandarkan pada satu matlamat iaitu menjaga kepentingan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya," kata beliau.

Khalid berkata, setiap sen yang dibelanjakan oleh Syabas akan diterjemahkan dalam bentuk tarif yang akan dibayar oleh rakyat dalam bil bulanan mereka.

Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Selangor wajib mempertahankan dan mengutamakan kepentingan pengguna, nilai wang dan rakyat tidak terbeban untuk membayar tarif bagi perbelanjaan yang sia-sia.

"Penyelesaian kepada permasalahan yang ditimbulkan oleh Syabas hanya boleh dicapai di bawah model holistik yang dimulakan oleh Kerajaan Pusat sejak 2006 apabila Akta Industri Perkhidmatan Air digubal yang mana perkhidmatan air yang dulunya di bawah pengendalian kerajaan negeri sepenuhnya telah dipindahkan di bawah Senarai Bersama, Perlembagaan Malaysia.

"Ini menunjukkan bahawa perkhidmatan air adalah tanggungjawab bersama kerajaan negeri dan pusat bukannya diuruskan syarikat swasta yang memeras ugut kerajaan negeri,  menindas rakyat dan berorientasikan keuntungan," kata Khalid lagi.

Tambah beliau, kerajaan negeri bersungguh-sungguh menyelesaikan penstrukturan semula berlandaskan perundangan walaupun Kerajaan Pusat berdegil untuk membenarkan kerajaan negeri mengambil alih perkhidmatan air.

No comments:

Post a Comment