Minda Hijrah Headline Animator

Sunday, December 9, 2012

Veteran ATM Menerima Bantuan - 1 Tanggungjawab Bersama #JHEVbantuVeteran




Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM  adalah satu jabatan yang bertanggungjawab dalam memulakan langkah membantu veteran Angkatan Tentera Malaysia dalam semua ruang lingkup kehidupan. Setelah ditubuhkan pada tahun 2000 dan mula beroperasi pada 2001, JHEV diberi tanggungjawab yang besar untuk menyentuh urusan khususnya mengenai veteran ATM yang telah bersara dan yang pernah berkhidmat dengan Angkatan Tentera baik sewaktu zaman pemerintahan British.

Matlamat JHEV adalah untuk memastikan veteran Angkatan Tentera Malaysia mendapat pembelaan yang sewajarnya atas segala budi yang ditaburkan terhadap negara yang kita cintai. Sokongan kerajaan terhadap usaha murni JHEV amat dihargai dan ramai yang telah tersentuh dengan kehadiran JHEV yang telah membantu mereka. Dari skim bantuan sara diri sehinggalah bantuan pengendalian perniagaan dan persediaan selepas menamatkan khidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia – merupakan tanggungjawab yang telah dan akan terus dilaksanakan sebaik mungkin. JHEV dalam usaha untuk terus menyentuh kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia telah memperbesarkan struktur mereka dan melihatkan segmen penting dalam memastikan nasib veteran ATM terbela. JHEV mengadakan 8 segmen pentadbiran terdiri dari Bahagian Khidmat Pengurusan, Bahagian Kerjaya dan Sosioekonomi, Bahagian Kebajikan, Bahagian Pencen, Bahagian Dasar, Bahagian Teknologi Maklumat dan Bahagian Kewangan dan Akuan. 

JHEV juga mempunyai cawangan di 9 negeri bagi memastikan veteran Angkatan Tentera Malaysia dapat dengan mudah menghubungi JHEV dalam usaha mendapatkan bantuan sokongan. JHEV juga dalam memastikan veteran Angkatan Tentera Malaysia mendapatkan urusan yang berkualiti serta mempunyai interaksi baik antara veteran dan JHEV, langkah turun pandang dilakukan untuk mendapatkan maklum balas mengenai masalah dan cara mudah untuk veteran ATM mendapatkan bantuan. JHEV juga secara menyeluruh cuba mendapatkan butiran veteran ATM yang lama dalam usaha untuk mengetahui kedudukan mereka khususnya dalam usaha menghulurkan bantuan kepada mereka yang benar-benar perlu. 

JHEV berusaha untuk cuba mengetengahkan khidmat yang ada untuk veteran ATM agar mereka sedar ada yang sebenarnya perihatin terhadap kedudukan kehidupan mereka. Sungguhpun begitu usaha mengutamakan kebajikan veteran ATM bukan hanya diletakkan di bawah tanggungjawab JHEV semata-mata. JHEV sepatutnya disokong secara menyeluruh agar JHEV dapat mengembangkan sayap bantuan secara menyeluruh dan lebih besar lagi. Semua rakyat sepatutnya terbabit dalam usaha JHEV membantu veteran tentera yang telah banyak menabur budi terhadap negara dan tanah air.

Dalam usaha memantapkan program dan matlamat JHEV untuk membantu veteran ATM maka satu Yayasan Veteran ATM juga telah ditubuhkan bagi usaha mendapatkan bantuan menyeluruh dari swasta dan sumbangan luar untuk mengukuhkan JHEV dalam mengadakan program demi kebajikan veteran ATM. Ini adalah untuk membolehkan matlamat JHEV dikongsi juga oleh organisasi dan individu di luar ATM untuk sama-sama terlibat dalam membantu JHEV merealisasikan bantuan yang lebih besar terhadap veteran ATM. Matlamat JHEV untuk bantu veteran ATM seharusnya menjadi matlamat bersama dalam memastikan kebajikan veteran ATM terbela.

No comments:

Post a Comment