JURULATIH skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal berkata, tiada apa yang mustahil bagi mereka untuk menewaskan Thailand dalam saingan separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki di Stadium Supachalasai, Bangkok, malam ini.
"Ia akan menjadi perlawanan yang sukar tetapi tiada apa yang mustahil dalam dunia bola sepak sekiranya pemain berjuang untuk melakukannya.
"Lagipun, saya tahu pemain-pemain saya akan melakukan yang tebaik dan meningkatkan prestasi daripada perlawanan pertama.
"Apa pun, kita tunggu sahaja apa yang akan berlaku perlawanan malam ini," kata beliau yang dipetik laman web Piala AFF.
Pada masa yang sama, Rajagobal yang membantu merangkul kejuaraan pertama dua tahun lalu turut menegaskan, mereka tidak berhadapan dengan situasi "takut" atau risau dalam menghadapi pertemuan menentang Thailand.
Sebaliknya, beliau yakin anak buahnya mampu mencipta kejutan ke atas pasukan pilihan itu.
"Saya tetap optimis kita mampu mencatat kemenangan ke atas Thailand nanti.
"Saya tidak fikir mereka berasa takut berdepan tuan rumah kerana kita pernah berdepan dengan Thailand dan mereka juga mempunyai pengalaman ketika beraksi pada perlawanan persahabatan sebelum ini.
"Dan, saya rasa para pemain tahu suasana perlawanan malam ini," ujarnya lagi.
Sementara itu, jurulatih Thailand, Winfried Schafer yang mengakui berdepan masalah komunikasi dengan anak buahnya pada perlawanan malam ini setelah dilarang berada di padang berikutan diperintah keluar oleh pengadil semasa perlawanan di Bukit Jalil Ahad lepas bagaimanapun yakin jurulatih kedua, Mano Polking mampu menjalankan tugas dengan baik.
"Memang kami mempunyai masalah, tetapi Polking akan memberi semua arahan untuk malam ini dan pemain sendiri pun tahu apa yang mereka perlu lakukan.
"Dengan semangat yang baik, kerjasama berpasukan yang kuat, saya yakin kita mempunyai peluang yang baik untuk menang," kata Schafer yang akan mencari tempat yang baik untuk menonton perlawanan itu.
Pada masa yang sama, Schafer turut menegaskan bahawa mereka turun padang bukan mahu sekadar meraih keputusan seri, sebaliknya menginginkan kemenangan.
"Malam ini kita akan mencari kemenangan, kita tidak akan bermain untuk seri 0-0.
"Kita perlu bermain dengan memasang matlamat kerana itu adalah sangat penting.
"Kita tidak boleh duduk dan bertahan selama 90 minit tapi harus menyerang dan mencari kemenangan," ujar jurulatih kelahiran Jerman itu.
Pemenang dalam perlawanan malam ini akan berdepan dengan Singapura dalam dua perlawanan peringkat akhir pada 19 dan 22 Disember.
No comments:
Post a Comment