Buku biografi isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang
bakal berada di pasaran dalam waktu terdekat, merupakan wadah yang betul
untuk isteri perdana menteri menangkis tohmahan yang dilemparkan
terhadapnya, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, Rosmah berhak untuk membuat pembetulan terhadap semua
isu-isu negatif mengenai dirinya yang dilemparkan oleh pihak-pihak yang
tidak bertanggungjawab.
"Beliau (Rosmah) bukannya berprofil tinggi. Hanya orang-orang tertentu
menjadikan beliau seorang individu berprofil tinggi dengan melemparkan
pelbagai tuduhan dan beliau berhak untuk menjawab.
"Walaupun beliau adalah isteri perdana menteri, ini tidak bermakna yang
beliau perlu berdiam diri terhadap pelbagai tuduhan," kata Dr Mahathir
kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian
Pemerolehan Teknologi dan Aset bernilai RM63 juta antara Proton Holdings
Bhd dan Petronas Bhd, di sini hari ini.
Pada Isnin, majlis prapelancaran biografi itu disempurnakan oleh Sultan
Pahang, Sultan Ahmad Shah yang diiringi Sultanah Pahang, Sultanah
Kalsom dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Buku setebal 164 muka surat itu dan berharga RM150 senaskhah ditulis
oleh Siti Rohayah Attan dan Noraini Abdul Razak. Ia akan dilancarkan dan
diedar untuk jualan bulan depan. - Bernama
No comments:
Post a Comment