Minda Hijrah Headline Animator

Wednesday, November 21, 2012

Politik syaitan dan politik ulama

FIRMAN ALLAH SWT bermaksud: "Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam supaya kamu jangan menyembah syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu." (Yasin: 60). Demikian perintah ALLAH kepada umat manusia.

Perintah ALLAH itu ditujukan kepada umum, terutama kepada golongan yang berilmu pengetahuan atau disebut ulama. Oleh kerana tingginya kedudukan ulama tersebut sehingga ALLAH membicarakan mengenainya dalam urusan keagamaan. Disebabkan manusia itu sangat fanatik (taklid) menuruti para ulama, maka syaitan berusaha sedaya upaya untuk masuk ke dalam darah daging ulama-ulama, akhirnya ulama-ulama itu banyak yang tidak sedar, telah menjadi kaki tangan dan tali barut syaitan untuk menyesatkan manusia.

Perdayaan syaitan yang telah bertempat dalam tubuh badan ulama-ulama itu, amatlah susah bagi kita melepaskan diri dari perdayaannya, sebab tidak adanya garis pemisah yang terang antara perdayaan ulama dan perdayaan syaitan. Laksana kita berhadapan dengan serigala berbaju kambing atau musang berbaju ayam. Sabda Nabi SAW bermaksud: "Akan keluar beberapa kaum nanti, muka mereka seperti muka manusia, akan tetapi hati mereka seperti hati syaitan."

Untuk mengetahui tanda-tanda bahawa ulama itu telah diperkudakan syaitan iblis, lihatlah kepada pekerjaan-pekerjaan mereka, apabila mereka berusaha dengan sedar atau tidak sedar untuk menyalahi ajaran agama yang sebenarnya, bercanggah dengan ajaran  dibawa para Rasul.

Mereka memutar belitkan kenyataan-kenyataan ajaran agama dan itulah tanda-tanda mereka diperdayakan oleh syaitan dan kunco-kunconya.

Perhatikan sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Lihatlah oleh kamu akan orang-orang yang kamu temani duduk bersama-sama mereka itu, kenalilah siapa mereka itu, dan perhatikanlah dari siapa guru yang kamu mengambil pelajaran daripadanya, kerana pada akhir zaman syaitan iblis menjelma menyerupai lelaki (ulama)."

Demikianlah politik percaturan syaitan iblis memperdayakan umat manusia. Semua perkara dunia dijadikan alat untuk memperdayakan manusia.

Syaitan iblis telah membukakan tirai rahsianya secara terang-terangan bahawasanya mereka itu tidak mempunyai kesanggupan untuk memperdayakan manusia-manusia yang ikhlas menjadi hamba ALLAH.

Firman ALLAH bermaksud: "Berkatalah iblis: Demi kebesaran Engkau ya ALLAH, sesungguhnya aku akan memperdayakan dan menipu sekalian anak Adam selain hamba Engkau yang berbuat ibadat kepada Engkau dengan ikhlas."

Agar tidak diperdayakan oleh syaitan iblis itu, maka hendaklah kita beramal sepenuh keikhlasan kerana ALLAH, seperti firman-Nya yang bermaksud: "Maka perhambakan dirimu akan ALLAH dengan keadaan tulus ikhlas bagi ALLAH semata-mata."

Orang-orang yang ikhlas dalam mengerjakan amalnya untuk ALLAH, bangsa, agama dan negara, pasti disanjung tinggi oleh kawan dan lawan serta menjadi kepercayaan orang ramai yang tidak menangguk di air keruh atau ada udang di sebalik batu, yang mana menjadi hilang kepercayaan bagi masyarakat awam.

Oleh kerana itu jadikanlah keikhlasan itu pedoman kita dalam mengerjakan segala perkara khususnya yang bersangkutan dalam agama.

Saidina Ali berkata dalam suatu pidato: "Janganlah kamu ambil syaitan menjadi pemimpin pekerjaan kamu, kalau kamu mengambil syaitan menjadi pemimpin kamu, maka bertelurlah syaitan itu dan beranak pinak di dalam dada kamu, merangkaklah syaitan itu dalam darah daging kamu, dia memandang dengan mata kamu, dia mendengar dengan telinga kamu, dia berkata dengan lidah kamu, maka dikenderainya tubuh kamu, dia menjatuhkan diri kamu mengerjakan segala larangan ALLAH."

Sabda Rasulullah SAW bemaksud : "Semua manusia itu mati yakni mati perasaan, mati semangat, mati fikiran dan mati hati,sedang yang tidak mati ialah mereka yang berilmu pengetahuan, orang yang berilmu pengetahuan itupun tertidur dan yang tidak tidur hanyalah orang yang bekerja, orang yang bekerja pun semuanya tertipu dan terpedaya, hanyalah yang tidak tertipu itu ialah orang yang ikhlas."

1 comment:

  1. apa-apa pun sepatutnya sebagai orang islam kita sepatutnya mendoakan kesejahteraan untuk semua ... kenapalah orang pas itu tidak berdoa "Ya Allah ya Tuhanku engkau masukanlah iman dan tauhid kepada seluruh pemimpin dap dan ahli-ahli mereka agar mereka semua menerima Islam sebagai agama yang menjadi pegangan dan amalan mereka. engkau sinarlah iman dan tauhid kepada pimpinan pkr dan ahli pkr yang masih belum islam agar mereka mencintai dan beramal dengan amalan islam yang sebenarnya. engkau kurniakanlah iman dan islam kepada seluruh ketua dan sayap parti kami iaitu dppp agar mereka mereka menerima islam sebagai pegangan dan amalan mereka ... ya Allah seterusnya pertingkatkanlah iman dan amalan islam kami agar kami dapat melaksanakan amanah dan perentah kamu dengan sempurna ... maka dengan seluruh kekuatan islam dan iman yang engkau berikan kepada pimpinan dan ahli dap ... pimpinan dan ahli pkr ... pimpinan dan ahli dppp maka mudahkanlah bagi kami melaksanakan cita-cita kami menegakkan hukum Mu di bumi bertuah ini agar menjadi contoh terbaik kepada umat manusia pada masa ini" ... alangkah indahnya bunyi doa itu ... er soalnya beranikah mereka ...

    ReplyDelete