Minda Hijrah Headline Animator

Wednesday, November 14, 2012

PAS Tidak Halang Perwakilan Bincang isu Nurul Izzah

PAS tidak akan menghalang perwakilannya daripada membangkitkan isu kontroversi Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar pada Muktamar Tahunan ke-58 parti itu yang akan bermula Jumaat ini.

 
Bagaimanapun, tegas Timbalan Pengarah Jawatankuasa Pelaksananya, Datuk Takiyuddin Hassan ia perlu berlangsung secara aman tanpa sebarang kontroversi.
 
Justeru, Pengerusi Tetap, Abu Kassim Abdullah akan memainkan peranannya untuk mengawal ucapan daripada pihak perwakilan.
 
"Kita tidak menyekat..tetapi dalam kawalan. Kita ada Pengerusi Tetap yang akan kawal. Kita percaya isu itu tidak akan menjadi satu topik yang kontroversi sebagaimana pendirian PAS. Saya rasa ahli-ahli kita senada dengan pimpinan PAS setakat ini," katanya.
 
Beliau berkata demikian di dalam sidang media Jawatankuasa Pelaksana Muktamar Tahunan kali ke-58, di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan hari ini.
 
Tidak pasti samada ahli Parlimen Lembah Pantai itu akan hadir atau tidak, Takiyuddin bagaimanapun memberitahu bahawa Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution sudah mengesahkan kehadiran mereka.
 
Selain itu, veteran DAP, Lim Kit Siang, Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke dan ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong turut mengesahkan kehadiran mereka.
 
"Kita tak tahu dia (Izzah) datang atau tidak tapi tidak ada kepastian datang..kita jemput parti dan individu-individu.
 
"Kita diberitahu daripada Keadilan, Datuk Seri Wan Azizah, Presiden dan Setiausaha Agung sahaja yang pasti datang.
 
"DAP tiga orang pasti datang iaitu Lim Kit Siang, Anthony Loke dan Liew Chin Tong," katanya.
 
Muktamar bertemakan Negara Berkebajikan Teras Perpaduan akan bermula pada Jumaat ini namun Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat akan memulakan persidangan mereka malam ini di mana persidangan Dewan Muslimat akan dirasmikan oleh Presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan persidangan bagi Dewan Pemuda oleh Timbalan Presiden, Mohd Sabu. 
 
Laporan portal berita propembangkang pada 3 Nov lepas memetik Nurul Izzah sebagai berkata: "Rakyat tidak seharusnya dipaksa menganut agama tertentu dan perkara ini juga patut terpakai kepada orang Melayu.
 
"Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama…bagaimana seseorang itu boleh berkata, maaflah, ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, ia sepatutnya diguna pakai secara sama rata," kata Nurul Izzah.
 
Beliau berkata demikian pada forum bertajuk "Negara Islam: Versi Mana; Tanggungjawab Siapa?" di Subang Jaya, Selangor pada 3 November lalu.

No comments:

Post a Comment