Minda Hijrah Headline Animator

Tuesday, November 6, 2012

[Melayu Bebas Beragama] Nurul Izzah arah Peguam saman Utusan, BH

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar hari ini mengarahkan peguamnya supaya mengambil tindakan undang-undang ke atas akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian berkaitan laporan isu kebebasan beragama yang didakwa berbaur fitnah terhadapnya.

 
Beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk menyaman beberapa media lain termasuk blog-blog yang dikatakan telah memutarbelitkan sebahagian daripada kenyataan beliau dalam satu forum Sabtu lalu.
 
Dalam kenyataan media yang kedua berhubung isu berkenaan, Nurul Izzah yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai berkata:
 
"Saya tidak merelakan fitnah akidah sebegini diteruskan dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang, demi menegakkan kebenaran dan demi keadilan."
 
Ahad lalu Nurul Izzah mengeluarkan kenyataan media memperjelaskan kenyataannya berhubung isu kebebasan beragama dalam forum anjuran sebuah gereja Kristian adalah bersandarkan ayat 256 surah al Baqarah – "tiada paksaan dalam agama". 
 
Bagaimanapun pihak media terus melaporkan reaksi pelbagai pihak berhubung isu berkenaan mendorong Naib Presiden PKR itu mengumumkan akan mengambil tindakan undang-undang. 
 
"Saya telah mengarahkan peguam-peguam saya - Hanipa Maidin dan Sulaiman Abdullah - untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Utusan Malaysia, Berita Harian, serta kemungkinan beberapa media termasuk blog-blog, berkaitan laporan berunsur fitnah akidah yang telah memutar belitkan sebahagian dari kenyataan penuh saya tempoh hari," katanya dalam kenyataannya hari ini.
 
Izzah pada Sabtu lalu, ketika menjadi panel sebuah forum anjuran pergerakan Kristian berkata:
 
"Tidak harus ada paksaan di dalam agama.  Bagaimanakah seseorang itu boleh berkata maaf.. ini (kebebasan agama) hanya untuk bukan Melayu. Ia (sebenarnya) harus dilaksanakan sama rata (untuk semua kaum)".
 
Berikutan itu beberapa pihak termasuk PAS dan Badan Bukan Kerajaan menegur kenyataan Nurul Izzah sebagai mengelirukan kerana seolah-olah konsep "tiada paksaan dalam agama" boleh dilihat dalam konteks memberi kebebasan orang Melayu memilih agama selain Islam.   
 
Pengarah Jais, Datuk Marzuki Hussin semalam berkata, Izzah mungkin akan dipanggil jika sekiranya ucapannya itu bertentangan dan melanggari keputusan Majlis Fatwa Negeri.
 
Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula mendakwa Umno terdesak sehingga sanggup memainkan isu sensitiviti agama sebagai alat politik.

1 comment:

  1. Saman! Saman! Bila saman nampak real sikit. Konon2 dia tak cakap la tapi utusan salah 'quote'. ha ha ha, samanX3. Barua punya pembangkang!! nik ajis tak sokong ke?

    ReplyDelete