Kerajaan Selangor tetap berdegil untuk meneruskan penggunaan teknologi penapis air membran bagi meningkatkan pengeluaran air terawat walaupun kerajaan persekutuan memutuskan pembinaan loji rawatan baru adalah lebih baik dan berdaya maju bagi penduduk di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, kata Timbalan Menteri KeTTHA Datuk Noriah Kasnon.
Katanya, kerajaan persekutuan, disokong dengan bukti dan kajian terperinci memutuskan Projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) jauh lebih baik daripada penggunaan teknologi penapis air membran yang cuba dicanang kerajaan Selangor selepas mendapat nasihat 'pakar-pakar mereka'.
Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) mendapati pembinaan logi Langat 2 adalah lebih ekonomi dan berdaya maju dengan memindahkan air dari negeri Pahang ke Selangor daripada angan-angan kerajaan Selangor yang mengambil dan menggunakan sumber mentah dari sungai, tasik dan lombong di negeri itu.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini berkata kalau kerajaan negeri Selangor bijaksana, mereka harus melihat penggunaan teknologi itu bukan jalan penyelesaiannya.
Katanya penggunaan teknologi penapis air membran itu tidak praktikal dan hanya boleh meningkatkan mutu air yang dirawat serta akan melibatkan kos yang lebih tinggi.
Di Dewan Rakyat pagi Selasa lalu, fakta yang dijelaskan daripada KeTTHA dengan mudahnya menangkis idea Mat Jenin kerajaan Selangor mengenai penggunaan teknologi penapis air membran itu sehingga Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim terpaksa mengadakan sidang akhbar bagi membuktikan pihaknya benar pada sebelah petang.
Pihak KeTTHA hairan bagaimana kerajaan Selangor yang penuh dengan taburan janji kosong itu boleh meneruskan penggunaan teknologi membran sedangkan sumber mentah dari lima sungai di negeri itu telah diguna pakai secara optimum.
"Teknologi itu tidak dapat dibuktikan boleh mengeluarkan atau boleh meningkatkan kapasiti pengeluaran air dalam skala besar atau tinggi. Mungkin jangka pendek tapi tidak dapat memenuhi unjuran permintaan.
"Lebih-lebih lagi kalau perlu melibatkan loji-loji sedia ada. Kosnya tinggi. Kita masih lagi menunggu laporan pakar.
"Perlu juga diingatkan apa juga teknologi, memerlukan sumber air mentah yang banyak. Sungai sedia ada sudah hampir optimum dan ada yang beroperasi dengan beban yang lebih. Kos untuk teknologi ini melebihi pembinaan Langat 2," kata Timbalan Menteri KeTTHA Datuk Noriah Kasnon.
Noriah turut membidas kerajaan Selangor yang tarik tali dan berdolak dalik dalam mencari jawapan dan penyelesaian kepada bekalan air bersih dan terawatt ini.
Sebelum ini, dilaporkan kerajaan negeri terdesak mencari jalan penyelesaian kepada masalah air ini sehingga wujud cadangan pembenihan awan dan ini menunjukkan mereka seolah-olah menekan butang panik dalam keadaan itu.
Dalam sidang media Khalid Selasa lalu, pihaknya mahu melakukan penstrukturan terhadap syarikat-syarikat milik kerajaan negeri seperti Syabas, Puas, Puncak Niaga sebelum bersetuju terhadap Langat 2.
Baginya, projek Langat 2 bukan sesuatu yang harus diutamakan sekarang kerana kerajaan negeri kini lebih tertarik dalam pilihan lain iaitu penggunaan teknologi membran bagi meningkatkan pengeluaran air terawat tanpa pembinaan loji rawatan baru.
Noriah ketika dihubungi untuk reaksi mengenai kenyataan Khalid itu berkata seharusnya Khalid tidak mencampuradukkan hal penstrukturan syarikat tersebut dengan isu Langat 2.
Sambil terkejut dengan pendirian Khalid itu, Noriah meminta kerajaan Selangor untuk tidak menjadikan ia satu syarat persetujuan kerana kepentingan rakyat perlu didahulukan.
"Projek Langat 2 perlu mula pertengahan 2013 atau kita akan berdepan krisis air di kawasan terlibat.
"Penstrukturan itu bila-bila boleh dilakukan termasuk secara berterusan. Kita tiada masalah untuk pihaknya ambil alih (empat syarikat) itu. Pergilah bincang dengan mereka.
"Tapi jangan merisikokan kebajikan rakyat dengan meletakkan syarat itu," katanya.
Umum perlu tahu bahawa projek Langat 2 melibatkan kerja pembinaan loji rawatan air untuk merawat air mentah dari Sungai Semantan, Pahang, pemasangan paip agihan air dan juga pembinaan kolam takungan air di kawasan Kuala Lumpur dan Selangor.
Mengikut perancangan, projek ini akan dilaksanakan melalui dua fasa di mana fasa pertama akan dilaksanakan secara berperingkat melalui 23 pakej pembinaan termasuk pembinaan sebuah loji air di Langat.
Penyiapan fasa pertama dijangka berupaya membekalkan air terawat sebanyak 1,130 juta liter sehari dan sehingga 30 Sept ini, kemajuan keseluruhan sebenar projek adalah 28.39 peratus berbanding jadual sebenar 66.34 peratus dan projek ini telah mengalami kelewatan 589 hari bekerja.
Pembinaan loji rawatan air ini yang dilaksanakan melalui Tender Pakej 2A di mana penawaran tender akan ditutup pada 20 Nov, 2012. Berdasarkan kemajuan ini, pembinaan loji rawatan air ini dijangka akan bermula pada pertengahan tahun 2013.
Bagi Khalid, apa jua berlaku beliau tetap menolak Langat 2 sehingga berhajat untuk bertemu timbalan perdana menteri bagi menyelesaikan masalah tersebut.
Alasan Khalid dalam cadangan pengstrukturan semula pengurusan air di Selangor adalah untuk mengawal tarif air agar ia tidak naik dengan sewenang-wenangnya.
Menteri Besar Selangor juga berpendapat projek Langat 2 tidak akan memberi sebarang faedah sekiranya syarikat air di Selangor masih belum dimiliki kerajaan negeri.
Masalah ini kelihatan seperti situasi stalemate dalam permainan catur, tetapi kerajaan persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM606 juta untuk projek mitigasi bagi menampung permintaan air di kawasan yang terjejas.
Noriah juga berseloroh namun dalam nada keyakinan yang tinggi, bahawa Langat 2 pasti akan diteruskan jika kerajaan Selangor berpindah tangan dan kembali kepada kepimpinan Barisan Nasional selepas pilihan raya umum nanti. Bernama.
No comments:
Post a Comment