Minda Hijrah Headline Animator

Saturday, November 3, 2012

Krisis Air - Azmin Ali perlu fakta sebelum bercakap ....


AgendaDaily - Baru-baru ini Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali terpekik terlolong di hadapan rakyat di Hulu Selangor menyatakan bahawa Selangor tidak mengalami sebarang krisis air dan menuduh Kerajaan Barisan Nasional (BN) sengaja membuat propaganda memburuk-burukkan pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.
Kata Azmin, rakyat di kawasan Gombak tidak mengalami sebarang gangguan bekalan air dan mandi pada setiap hari tidak sebagaimana yang didakwa oleh ramai pihak di media yang sebelum ini mengatakan mereka tidak mandi akibat krisis air sedang melanda di negeri itu.
Di dalam hujahnya untuk mempengaruhi rakyat, beliau memberi contoh operasi di empangan Klang Gate yang melepaskan air ketika hari bercuaca panas yang mengakibatkan banjir kecil berlaku di kawasan Parlimennya.
Kononnya, air di Selangor memang banyak dan negeri itu hanya mempunyai masalah bekalan air bersih yang tidak mencukupi.
Ekoran itu, Azmin menyalahkan syarikat konsesi air Selangor, SYABAS, yang kononnya sengaja melakukan sabotaj terhadap kerajaan pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, kerana gagal memastikan bekalan air terawat yang mencukupi untuk disalurkan kepada rakyat.
Pertamanya, suka diingatkan kepada Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bahawa Khalid sendiri secara tidak langsung telah mengakui bahawa negeri pimpinannya itu mengalami masalah air apabila beliau terpaksa "mengimport" syarikat dari Kanada untuk mengatasi kekurangan bekalan air bersih di Selangor.
Itu jelas menandakan bahawa negeri Selangor dan kawasan Lembah Klang sememangnya kini berada di ambang krisis air yang dahsyat. Jika tidak, mengapa Menteri Besar itu bersusah payah membawa masuk teknologi membran yang berkos tinggi ke Selangor?
Kedua, sememangnya empangan di Klang Gate akan melepaskan air di hari bercuaca panas memandangkan empangan itu mempunyai dua fungsi utama iaitu menyediakan sumber takungan air bersih dan bertindak sebagai sebahagian dari pelan strategik mengelak banjir besar di ibu negara.
Untuk pengetahuan Azmin, empangan tersebut terpaksa memastikan paras airnya diparas optimum dan tidak melebihi dari paras sepatutnya bagi mengelak empangan tersebut pecah serta tidak dapat berfungsi.
Ketika hari hujan, empangan yang terlibat dengan pelan mengelak banjir terowong SMART itu akan menakung air yang banyak dari limpahan air sungai dari berlaku banjir besar di sekitar bandaraya Kuala Lumpur.
Air lebihan di empangan ini akan dilepaskan ke sungai pada hari panas.
Jadi, kenapa pula Azmin mahu menyalahkan SYABAS dalam hal ini?
Lagipun, Azmin sendiri menyatakan bahawa kawasannya tidak mengalami sebarang gangguan bekalan air dan ini membuktikan bahawa SYABAS menjalankan tugasnya dengan baik!
Ketiga, sekiranya Azmin menyatakan bahawa SYABAS sengaja melakukan sabotaj terhadap Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, beliau sepatutnya menuding jari dan turut menyalahkan Khalid di dalam tuduhannya itu.
Ia adalah memandangkan Kerajaan Negeri Selangor sebagai antara pemegang saham terbesar di dalam SYABAS turut meletakkan wakilnya sebagai Ahli Lembaga Pengarah syarikat konsesi air itu.
Dengan pegangan 15 peratus saham oleh Kumpulan Darul Ehsan Berhad dan 15 peratus lagi dipegang oleh Kumpulan Perangsang Selangor Berhad, Khalid mempunyai wakil bagi memastikan SYABAS tidak melakukan sabotaj.
Persoalannya, apakah wakil Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor itu "tidur" atau tidak tahu buat kerja? Rasanya Azmin boleh persoalkan ketidakpuasan hatinya kepada Khalid sendiri kerana mereka berdua dari satu parti yang sama meskipun "berlainan kem"!
Atau Azmin sebenarnya bertindak "serampang dua mata" dalam hal ini dengan menyerang SYABAS dan sekaligus menempelak Menteri Besar Selangor itu?!
Yang menyedihkan di dalam "sketsa politik Pakatan Rakyat" mengenai krisis air di Selangor ini, rakyat di negeri itu dan di sekitar Lembah Klang terpaksa menjadi mangsa apabila loji Rawatan Air Langat 2 masih lagi tidak dibina segera.
Sehingga hari ini, Projek Langat 2 telah mengalami kelewatan 589 hari bekerja.
Adakah itu bermakna rakyat Selangor akan berdepan dengan krisis air selama tempoh itu kerana projek mitigasi hanya akan bertahan sehingga tahun 2016 sedangkan Langat 2 belum siap dibina?
Sebenarnya, Langat 2 adalah jawapan terbaik bagi mengatasi masalah bekalan air di selatan Selangor yang semakin meruncing akibat permintaan yang tinggi dari kawasan-kawasan yang pesat membangun.
Tambahan pula dengan keadaan pencemaran Sungai Langat yang kini berada di tahap empat, rakyat Selangor di kawasan terbabit dilihat begitu terdesak memerlukan sumber air baru yang lebih efektif dan berteknologi hijau bagi jangka masa panjang.
Semoga Allah SWT memberikan hidayah kepada para pemimpin Pakatan Rakyat di negeri Selangor supaya melupakan sebentar soal politik dan mendahulukan rakyat Selangor yang semakin di ancam krisis air yang melanda.
Jika tidak bersedia untuk berbuat demikian, harapnya buanglah perkataan "Rakyat" pada nama "Pakatan Rakyat" itu dan gantikan saja dengan nama baru, "Pakatan Politik" yang lebih relevan untuk gabungan PKR, DAP dan PAS…

No comments:

Post a Comment