Minda Hijrah Headline Animator

Saturday, November 17, 2012

Kenapa PAS perlu izin DAP untuk Perjuang ISLAM?

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Himpunan Ulama Muda Malaysia (ILMU), Fathul Bari Mat Jahaya mempersoalkan mengapa PAS perlu mendapatkan keizinan DAP untuk membentuk sebuah negara Islam dan melaksanakan hukum Islam umpamanya, hudud.

Malah katanya, jika PAS ikhlas dengan perjuangannya, parti itu seharusnya tidak memilih sekutu yang jelas menyatakan penentangan mereka terhadap isu pelaksanaan hudud.
 
Beliau juga mempersoalkan mengapa PAS tidak membuka ruang untuk menjalinkan hubungan kerjasama dengan parti Islam yang lain, iaitu Umno untuk memastikan Malaysia benar-benar berjaya menjadi sebuah negara Islam.
 
"Mengapa PAS perlu bersama-sama dengan orang yang menjadi penghalang dalam usaha memartabatkan agama. Mengapa PAS perlu meminta izin dahulu daripada DAP untuk membentuk sebuah negara Islam dan melaksanakan hukum Islam.
 
"Perpaduan dan kesatuan ini sepatutnya didahulukan sesama muslim dalam konsep jadi mengapa perpaduan sesama muslim ini kita ketepikan. Sedang kita mencari perpaduan dan kerjasama yang ada agenda dan benci kepada Islam dan menolak agama Islam.
 
Fathul berkata, PAS seharusnya melupakan sengketa lama dan kembali melihat kelebihan yang ada jika kedua-dua parti itu bergabung.
 
"Jalan terbaik bagi kedua-dua parti iaitu PAS dengan Umno sebenarnya adalah saling bermaafan bagi memastikan usaha mengangkat kedudukan martabat Islam dijadikan agenda utama," ujarnya.
 
Presiden PAS, Datuk Abdul Hadi Awang semalam dalam ucapan dasar Muktamar PAS kali ke-58 berkata bahawa parti itu tidak memaksa jika ada perbezaan pendapat atau keputusan di antara komponen dalam Pakatan Rakyat (PR) setelah berjaya menjadi pemimpin kelak. 
 
Terdahulu, Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib berkata Pakatan Rakyat sudah mencapai kata sepakat dan hudud akan dilaksanakan mengikut perlembagaan negara.
 
"Kalau kita majoriti dalam Parlimen, kita kemukakan undang-undang berkaitan dan kita dapat sokongan Parlimen dan diluluskan, maka dengan sendiri (hudud) menjadi undang-undang negara.
 
"Bila jadi undang-undang negara, semua kena taat, patuh. Kalau tidak setuju, contohnya ada undang-undang jalan raya, orang pun tidak setuju, kerajaan laksana juga," katanya selepas merasmikan Muktamar Dewan Ulama Pas, Khamis lalu.
 
Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr Tan Seng Giaw bingkas memberi reaksi dan berkata beliau tidak tahu bagaimana boleh timbul isu hukum hudud dipersetujui Pakatan Rakyat.
 
Beliau kemudiannya menegaskan, DAP hanya menerima Islam sebagai agama rasmi.
 
Pengerusi DAP, Karpal Singh pula hari ini menyifatkan kenyataan Harun itu sebagai nakal dan jauh terpesong.
 
Mengulas situasi itu, Fathul berkata, PAS akan lebih dipandang mulia jika parti itu menghentikan kerjasamanya dengan DAP.
 
"Biarlah PAS kekal dengan perjuangannya yang mulia daripada bersama-sama dengan DAP dalam Pakatan," tegasnya.
 
Fathul juga mengulas dakwaan Harun yang melabel ulama Umno 'jahat' dan 'fulus' ketika menyampaikan ucapannya pada muktamar yang dihadiri lebih 1000 perwakilan. 
 
"Harun Taib sebagai ketua pemimpin Dewan Ulama sepatutnya menunjukkan sikap yang baik tanpa mengeluarkan kenyataan seperti itu.
 
"Bila dia (Harun Taib) kata ulama Umno jahat itu merupakan kenyataan rambang yang mungkin beliau bercakap dalam keadaan beremosi," jelasnya.

1 comment:

  1. apa la bangang sibloger umno sekali dengan mangkuk ayun Fathul ni,,bila nya PAS minta izin DAP?? tak perlu pun,,

    ReplyDelete