Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menuntut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak menggadaikan aset anak syarikat kerajaan negeri yang sepatutnya memberi manfaat kepada pembangunan negeri dan rakyat.
Merujuk dakwaan Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah bersetuju dengan cadangan menjual lima aset milik perbadanan itu yang berjumlah RM321 juta, mereka menyifatkan tindakan itu tidak menepati matlamat asal perbadanan untuk memastikan pembangunan sosioekonomi rakyat dapat dibangunkan secara seimbang di Selangor.
Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Selangor, Abu Bakar Yahya berkata, sebagai anak syarikat kerajaan negeri, PKNS khususnya Abdul Khalid selaku Pengerusi Lembaga Pengarahnya perlu memikirkan soal yang lebih besar iaitu membangunkan lagi perbadanan itu selain memastikan agenda pembangunan rakyat khususnya bumiputera dapat diteruskan.
"Menteri Besar dan Lembaga Pengarah PKNS tidak boleh menyamakan perbadanan itu dengan syarikat-syarikat korporat lain yang hanya mementingkan keuntungan.
"Sepatutnya PKNS berusaha untuk menambah pegangan aset milik mereka bukan mengurangkannya dengan menjual kepada pihak lain," katanya lapor Utusam Malaysia.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional(BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar kelmarin yang mencabar Khalid tampil memberi penjelasan penuh berhubung dakwaan Lembaga Pengarah Perbadanan PKNS meluluskan penjualan lima aset milik anak syarikat kerajaan negeri itu yang berjumlah RM321 juta.
Lima aset tersebut adalah Menara PKNS Petaling Jaya dengan harga RM90 juta, Pusat Konvensyen Shah Alam RM97juta, Kompleks PKNS Shah Alam RM85 juta, Kompleks PKNS Bangi RM42 juta dan Wisma Yakin RM7 juta.
Menurut Noh, difahamkan proses penjualan belum dimuktamadkan kerana surat perjanjian penjualan belum ditandatangani.
Bagaimanapun, ia berada di peringkat akhir kerana secara asasnya Lembaga Pengarah PKNS telah bersetuju untuk menjualnya.
No comments:
Post a Comment