Minda Hijrah Headline Animator

Tuesday, October 30, 2012

Isu kuil: K'jaan S'gor pejam mata - Kamalanathan


Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan hari ini mempertikaikan tindakan kerajaan negeri Selangor yang dilihat mengambil sikap lepas tangan berhubung isu kelulusan projek pembinaan kondominium 29 tingkat berhampiran Batu Caves.

Menurut beliau, sejak mengambil-alih tampuk pentadbiran negeri pada 2008 sehingga kini, kerajaan Pakatan Rakyat (Pakatan) Selangor mempunyai tempoh lebih empat tahun untuk membatalkan projek tersebut.

“Projek pembinaan tersebut bermula pada tahun 2007...2008 Pakatan Rakyat mengambil-alih kerajaan negeri.

“Mereka ada empat tahun setengah untuk menghentikan projek tersebut...mengapa tidak berbuat demikian?” soal beliau di dalam sidang medianya di Parlimen hari ini.

Selain itu, Ketua Penerangan MIC ini turut menempelak Exco Selangor, Ronnie Liu yang didakwa telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya.

Ronnie baru-baru ini mendakwa projek tersebut telah diluluskan Kamalanathan dan Timbalan Menteri Luar Negeri, Senator A Kohilan Pillay pada tahun 2007 atas kapasiti mereka selaku Ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Kenyataan tersebut dinafikan Kamalanathan memandangkan tempoh perkhidmatannya sebagai Ahli Majlis tamat pada tahun 2006.

“Untuk makluman, saya menjadi ahli Majlis Perbandaran Selayang dari 2004 hingga Disember 2006. Pada 2007 saya tidak ada hak untuk buat keputusan ataupun mengambil bahagian dalam apa juga keputusan yang diambil oleh MPS,” tegasnya.

Menyifatkan kenyataan tersebut sebagai sesuatu yang tidak wajar dan bertujuan untuk mencemarkan nama baiknya, Kamalanathan turut menggesa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran itu membuat kenyataan maaf secara terbuka kepadanya dalam masa terdekat.

Beliau menegaskan yang dirinya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Ronnie sekiranya gagal berbuat demikian.

“Apabila Ronnie membuat kenyataan tersebut, beliau hanya mempunyai satu sahaja hasrat iaitu untuk mencemarkan nama baik saya dan untuk mendapat keuntungan politik seberapa banyak yang boleh.

“Beliau seharusnya meneliti terlebih dahulu fakta yang diterimanya sebelum bertindak mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Ini bagi saya merupakan satu kenyataan yang tidak harus dilakukan oleh seorang pemimpin yang menjadi Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Susulan daripada kenyataan tersebut, pegawai-pegawai Kamalanathan baru-baru ini telah membuat satu laporan polis bagi menggesa satu siasatan terperinci dijalankan terhadap Ronnie.

No comments:

Post a Comment