Minda Hijrah Headline Animator

Sunday, October 14, 2012

Hadi Awang: Pas dapat untung kerjasama dengan DAP

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menegaskan parti itu memperoleh pelbagai keuntungan hasil kerjasama dengan DAP dalam pakatan pembangkang.
   
Beliau berkata, kerjasama dengan DAP memudahkan Pas menarik sokongan masyarakat bukan Melayu di negara ini seterusnya membolehkan parti itu kini mentadbir dua negeri di Malaysia.
   
"Kita juga sebenarnya dapat tadbir Perak dengan kerjasama erat DAP ... kita langsung tidak pernah rugi dalam mana-mana kerjasama kita. Malah kita juga dapat keuntungan kerjasama dengan BN (Barisan Nasional) sebelum Pas keluar pada 1978.
   
"Kita buat kerjasama yang dapatkan keuntungan kepada kita tetapi dalam masa sama kita tiada tolak ansur sekiranya kita kena korbankan perkara tunjang perjuangan kita," katanya kepada pemberita.
   
Terdahulu, beliau menyampaikan ceramah, nasihat dan beramah mesra dengan pelajar Maahad Tahfiz Tok Jiring di Kampung Tok Jiring di sini, hari ini.
  
Media hari ini melaporkan Musyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata,  Pas memerlukan DAP bagi meraih sokongan bukan Melayu bagi memenangi pilihan raya umum ke-13 akan datang.
   
Kerjasama itu mengundang pelbagai kritikan daripada akar umbi Pas sendiri antaranya daripada Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad yang berpendapat perjuangan politik Pas tidak lagi menepati kehendak Islam apabila bekerjasama dengan DAP.
   
Abdul Hadi berkata kerjasama dengan DAP adalah berlandaskan 'tahaluf siyasi' (kerjasama badan Islam dengan pergerakan lain yang tidak bermatlamatkan Islam di dalam perjuangannya, bagi mencapai matlamat sama) dan dibuat berdasarkan garis panduan yang disediakan Majlis Syura Ulama Pas.
   
"Pas hanya kerjasama dengan DAP memerangi kezaliman dan tegakkan kebenaran untuk rakyat. Pas tidak kerjasama sampai kita sama buat perkara ditegah Islam. DAP bukan Islam itu terpulang dia, kalau orang Islam Pas ikut buat (perkara yang ditegah agama) kita buang (mereka daripada parti), jangan mari sini doh (jangan merayu untuk kembali menyertai Pas)," katanya.
   
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai isu Kabinet bayangan pembangkang, beliau berkata perkara itu hanya bayangan dan Pas tidak bergantung kepada bayangan untuk memperkuatkan parti itu.
   
"Bila sebut bayangan tak perlu saya komen, Pas tidak mahu keliru dengan bayangan ini," katanya.
   
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Kabinet bayangan itu helah pembangkang mengelirukan rakyat demi kepentingan politik mereka. - Bernama

5 comments:

  1. Bukankah semua itu sudah dijalankan oleh Barisan Nasional 50 tahun dahulu? sekarang konsep 1 malaysia pulak untuk mengeratkan hubungan antara kaum . PAS selalu ketinggalan, meniru lepas itu mendabik dada itu idea mereka.....

    ReplyDelete
  2. pas dapat untung tapi DAP untung besar hasil kerjasama ni.

    ReplyDelete
  3. Apa sangatlah untung dunia yang tak menjamin masa depan bangsa dan agama sendiri... kalau inilah bunyi suara pemimpin PAS memang tak ada klaslah untuk duduk sebagai Pemimpin Muslim!!!!!

    ReplyDelete
  4. Persoalan besar: Dapatkah PAS mempengaruhi pemimpin-pemimpin DAP. Contohnya, Karpal dan LKS? Dalam politik banyak faktor dan 'variable' yang samar dan amat dinamik sifatnya. Bahkan, jika diteliti rasional yang diketengahkan Hadi Awang di atas, ianya agak dengkil ('shallow'). Misalnya, beliau berkata disebabkan kerjasama PAS dengan DAP, PAS boleh menawan hati orang bukan Islam. Itulah sebab kata beliau mereka
    dapat memerentah Kelantan dan Kedah. Bahkan, Perak
    sekalipun. Pandangan saya; kemenangan Pembangkang pada PRU 2008 adalah disebabkan:
    1) Berterusannya pengundi terperangkap bersimpati dengan DSAI
    2) Hasil fitnah dan propaganda Pembangkang yang menjadi-jadi - tiada tolok bandingnya dalam sejarah politik Malaysia
    3) Kepimpinan dalam parti Kerajaan yang tidak begitu
    digemari pada ketika itu.
    Jadi, saya kira sebab-sebab yang diberi Hadi Awang agak meleset.
    Berasaskan pemikiran 'superficial' begini adalah agak merbahaya jika saya memangkah PR/PAS. Saya tidak mahu melemahkan Islam dan kedudukan Melayu di Malaysia. Setakat ini, BN/UMNO telah menabur jasa kepada seluruh rakyat Malaysia. Tiada apa yang nak difikir lagi.

    ReplyDelete
  5. "Tahaluf Siyasi", jika dalam konteks untuk mendapat keuntungan; bukan dalam maslahah untuk menjatuhkan sebuah Kerajaan yang terasnya dipelupori pemimpin-pemimpin beragama Islam seperti juga orang PAS. Jika tumbangnya Kerajaan ini, bolehkah PAS menentukan parti yang bukan Islam itu cenderung untuk mendaulatkan Islam? Yakinkah PAS yang DAP ini tidak memusuhi Islam? Mungkin bukan memusuhi sehingga menghapuskan Islam dari bumi Malaysia, tetapi cukup disebut memusuhi, jika mereka cuba mencairkan pengaruh dan peranan Islam di Malaysia. Cuba jengah di seberang tambak. Jika PAS berasa mereka mempunyai 'counter' strategi selepas memenangi PRU13 (na'uzubillahimindzalik) dengan mengguna pemenang-pemenang UMNO sebagi 'loading', saya kata jangan terlalu yakin. DAP dah baca otak kamu. Mereka dah bersedia.

    ReplyDelete