Minda Hijrah Headline Animator

Wednesday, October 17, 2012

Benarkah PAS hanya Pak Turut dalam Pakatan Rakyat?

 
 
Wajarkah Mantan Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dianggap duri dalam daging bagi PAS? Atau, adakah perjuangan PAS kini dipenuhi onak duri kerana ia sudah tergelincir dari landasan perjuangannya yang sebenar ?

Nasharuddin melontarkan pandangan peribadi bahawasanya PAS sudah agak tersasar daripada perjuangan hakikinya – berdakwah. PAS baginya, kini agak leka dengan aktiviti menyusun strategi untuk menang pilihan raya hingga mengabaikan asas perjuangan Islamnya.

Pemikiran Nasharuddin ini segera disanggah oleh Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang menganggap kenyataan Nasharuddin itu mencabar keputusan Majlis Syura PAS.

Mahfuz mendakwa bahawa Syura PAS telah memutuskan bahawa buat masa ini matlamat perjuangan PAS ialah mendapatkan kuasa untuk memerintah negara. Setelah berkuasa barulah PAS mampu melaksanakan lebih banyak tuntutan Islam.

Sementara Nasharuddin pula mahu PAS kembali kepada perjuangan asalnya untuk menjadi pendakwah dan penasihat kepada pihak berkuasa. Ini pernah ditegaskan oleh Mursyidul Am PAS, Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri.

Yang anehnya ialah, kedua-dua Nasharuddin dan Mahfuz adalah anggota Majlis Syura PAS. Perselisihan kedua-dua pemimpin PAS itu agak membingungkan sehingga Setiausaha Syura, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin mengakui beliau perlu berhati-hati dalam membuat sebarang ulasan berhubung isu ini.

Rasional Majlis Syura, jika dituruti laras hujah Mahfuz ialah, jika mahu berkuasa, PAS perlu bekerjasama dengan pihak atau parti lain yang sepemikiran dengannya dalam bab politik. Ini termasuk DAP.

Pendirian ini kemudian ditegaskan pula oleh Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz sekali lagi bahawa walaupun DAP tidak yakin dan malah menentang usaha PAS untuk laksanakan syariah Islam, khususnya hudud, kerjasama DAP perlu dijalin.

“Saya rasa pelik ada sebut kemenangan kita (PAS) sekarang ini menumpang DAP. Saya mahu tanya balik bila kemenangan yang tidak menumpang malah masa nabi sampai Madinah baginda buat perjanjian dengan Yahudi.

“Jadi tidak ada kemenangan yang tidak menumpang orang lain. Lebih-lebih lagi sekarang kita guna sistem pilihanraya nak undi Cina dan undi India,” kata Nik Aziz lagi.

Nik Aziz sebenarnya memberi komentar terhadap kenyataan Sasterawan Negara Profesor Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad bahawa perjuangan PAS tidak lagi menepati kehendak Islam sejak parti itu bekerjasama dengan DAP.

Malah Shahnon juga menegaskan bahawa kerjasama PAS dengan DAP adalah bercanggah dengan pendekatan yang digunapakai oleh Rasulullah s.a.w. ketika memerintah dan bekerjasama dengan golongan Islam di Madinah.

Demi mencapai hasrat itu, PAS bersedia mengenepikan perselisihan pandangan ahli akar umbi yang mahu PAS bergerak mengguna upaya sendiri untuk memenangi kuasa memerintah.

Ini kerana, kata Tok Guru Nik Aziz, ahli akar umbi PAS telah diracuni oleh pemikiran media pemerintah.

“Masalahnya ialah orang-orang PAS tengok televisyen, dengar radio dan baca surat khabar Umno jadi terbawa-bawa. Oleh yang demikian saya nasihat orang PAS boleh baca surat khabar Umno tapi kenalah ada jawapannya,” kata Menteri Besar Kelantan itu.

Kini isu kemaruk strategi untuk memenangi pilihanraya sehingga sanggup mengenepikan soal asas perjuangan seperti yang dibangkitkan oleh Nasharuddin dalam Seminar Dakwah Kebangsaan baru-baru ini menyerlahkan beberapa realiti dalam PAS.

Antaranya apabila Datuk Nik Aziz membias pandangan Prof Shahnon yang seolah-olahnya kemudian dilebarkan oleh kenyataan Nasharuddin, ia dianggap oleh sesetengah pemimpin PAS sebagai membidas arah tuju perjuangan PAS hari ini.

Maka apabila penegasan Mursyidul Am jelas menyokong pendirian dan hujah balas Mahfuz yang dikatakan mewakili Majlis Syura parti, ia sekaligus menunjukkan:

• Bahawasanya, boleh dan memang perlu diteruskan kerjasama dengan DAP walaupun ahli akar umbi kurang bersetuju,

• Barangsiapa mengeluarkan pandangan yang bertentangan dengan majlis Syura PAS ia dianggap menentang syura. Hukumannya serius. PAS mungkin mencabut keahlian mereka.

• Bahawasanya Syura PAS tidak boleh menerima pandangan yang berbeza dan seringkali perbezaan itu tidak akan menemui penyelesaian yang tuntas dan akan tumpah ke pengetahuan umum seperti yang sedang berlaku kini.

Mungkin apa yang sedang berlaku tidak akan menggoncang PAS. Namun sedikit sebanyak ia akan menghodohkan sedikit citra perjuangannya. Bagi Nik Aziz pada akhirnya ahli PAS akan tetap “dengar dan taat”.

Namun yang negatifnya ialah mungkin kepercayaan umum untuk menyandarkan harapan pada PAS menerajui pemerintahan negara akan tercalar sedikit.

Sehubungan itu, ketidakselarasan pemikiran pemimpin PAS ini pasti akan “menggerunkan” DAP dan mungkin juga PKR. Mereka mungkin kecut perut memikirkan bahawasanya iltizam politik PAS tidaklah seteguh yang diharapkan.

Atau, mungkinkah sebenarnya atas dasar “kelemahan” inilah mereka senang bekerjasama dengan PAS kerana menganggapnya akan terus menjadi rakan kongsi yang baik kerana PAS akan terus “mentaati” syor–syor strategi politik mereka ?

Mungkinkah kali ini rakan-rakan politik PAS akan mengesyorkan supaya PAS mengenyahkan sahaja duri yang melingkari ruang politiknya? Jika demikian, selamat tinggal Nasharuddin dan Prof Shahnon. Bolehlah mereka sertai Datuk Hasan Ali dan Datuk Zulkifli Nordin.

Jika itu berlaku maka sahlah bahawa PAS memang hanya Pak Turut dalam Pakatan Rakyat dan kepemimpinan PAS sebenarnya didalangi oleh anasir-anasir luar yang perjuangannya bukan bersandarkan Islam.

Namun yang melegakan ialah, masih ada pemimpin PAS yang bening pemikiran politik mereka dan sedar apa yang sedang berlaku. Sebab itu ada yang mahu mempertahankan Nasharuddin secara terbuka. Syabas kedua-dua Datuk Harun dalam PAS !

1 comment:

  1. Nasarudin dan Mahfuz walaupon duduk semeja, namun impian sendiri-sendiri.

    Nasarudin cekal dan ada ketegasan; melalui politik islam dan bangsa perlu jalan seiring sedia menerima kebaikan yang telah kerajaan jalankan sekarang.

    Nasarudin tidak menerima sebarang kebaikan yang telah KERAJAAN lakukan dan sedia jadi babi tunggangan DAP dan PKR demi angan-angan duduk bersama dengan gabungan pembangkang ke puterajaya.

    HARI ini pon pas tidak lebih jadi BABI tunggangan parti sekutunya, apa kelebihan yang mampu dicapai bila pas bergabung dengan DAP DAN PKR???kenyataan pas berhubung perjuangan islam selalu disanggah rakanya,,,,pas dan mati sekarang saat yang sesuai galilah kubur sebelum dikuburkan.





    ReplyDelete