Minda Hijrah Headline Animator

Sunday, October 21, 2012

[Audit 2011] Zahid Hamidi: Kementerian tak bersekongkol dengan kontraktor

Kementerian Pertahanan telah menyatakan ketidakpuasan hati terhadap pelaksanaan kerja kontraktor kepada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dalam projek pembinaan Rumah Keluarga Anggota Tentera (RKAT).

Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kementerian juga telah meminta CIDB campur tangan dalam menyelesaikan masalah berkenaan.

"Perlu diketahui bahawa pihak Kementerian Pertahanan sendiri tidak bersekongkol dengan pihak kontraktor berkenaan, malah kita telah mengemukakan ketidakpuasan hati kita kepada pihak CIDB," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan 35 ekor lembu korban sempena Hari Raya Aidiladha bagi Parlimen Bagan Datoh di Bagan Datoh, hari ini.

Beliau mengulas Laporan Ketua Audit Negara 2011 yang mendapati secara keseluruhannya prestasi pembinaan projek RKAT yang dibina dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) kurang memuaskan kerana terdapat beberapa kelemahan dalam pelaksanaan yang boleh menjejaskan objektif pembinaannya.

Ahmad Zahid menegaskan bahawa kementerian tidak akan berkompromi terhadap perbuatan mengaut keuntungan berlebihan dengan melaksanakan kerja tanpa menurut spesifikasi yang ditetapkan.

"Saya bersetuju dengan kajian daripada Ketua Audit Negara. Oleh kerana kontraktor itu sebahagiannya dibuat oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Kementerian Pertahanan telah menuntut supaya pihak SPNB dan pihak kontraktor terlibat membaik pulih sebarang kerosakan, kecacatan dan sebarang kerja-kerja yang di bawah spesifikasi.

Menjelas lanjut Ahmad Zahid berkata mengikut perjanjian, pihak kontraktor seharusnya mematuhi syarat untuk menyediakan rumah mengikut spesifikasi dan bertanggungjawab memperbaiki setiap kelemahan tanpa melibatkan kerajaan.

Justeru katanya masalah itu bukan berpunca daripada kelemahan kementerian sebaliknya ia adalah kelemahan daripada pihak syarikat pengurusan projek dan kontraktor.

"Kita berharap CIDB serta pihak yang bertanggungjawab mengambil tindakan yang sewajarnya bagi mengatasi masalah ini," katanya.

Sebelum ini dilaporkan bahawa pembinaan kemudahan RKAT oleh Kementerian Pertahanan menelan kos lebih RM3.2 bilion iaitu peningkatan sebanyak RM1,464.71 juta daripada peruntukan siling bagi projek tersebut.

Bagaimanapun menurut Laporan Ketua Audit Negara 2011, peruntukan siling RMK9 bagi 38 projek RKAT ialah sebanyak RM1,742.12 juta.

- Bernama

No comments:

Post a Comment