Minda Hijrah Headline Animator

Monday, October 1, 2012

[Anwarinas kuasai PAS?] Kemunculan ‘Islamist Democrats’ PAS

Kemunculan 'Islamist Democrats' Pas

oleh Zulkiflee Bakar

Utusan Malaysia

 

ISU penguasaan golongan Anwarinas di dalam Pas sememangnya menjadi perbualan hangat dalam arena politik negara. Kewujudan kumpulan ini dikatakan telah mengubah struktur landasan perjuangan politik parti itu yang selama ini mempengaruhi pemikiran orang Melayu dengan slogan, simbol, laungan dan perjuangan Islamnya.

 

Malahan kumpulan Anwarinas ini dikatakan semakin mencengkam penguasaan politik mereka, apabila Pas dalam usaha meraih kuasa, mengejar impian menumbangkan Barisan Nasional (BN) dan memburu mimpi indah menggantikan UMNO bersedia menjalinkan kerjasama politik dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

 

Impian Pas untuk dilihat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan PKR dan DAP dalam satu gabungan yang dikenali dengan Pakatan Rakyat tidak tercapai.

 

Istilah tahaluf siyasi yang dicanangkan oleh Pas bagi menghalalkan persahabatan dengan kedua-dua parti itu hakikatnya dilihat lebih banyak membawa kerugian kepada Pas.

 

Perjuangan negara Islam semakin ditinggalkan dan golongan ulama yang menjadi pengasas serta simbol kekuatan Pas selama ini semakin terpinggir. Apa yang lebih malang, dalam usaha menjaga persahabatan dengan PKR dan DAP, Pas dilihat sedia menyokong apa sahaja yang dilakukan oleh kedua-dua parti berkenaan.

 

Malahan kadang kala pemimpin-pemimpin Pas dilihat hilang keberanian untuk menyanggah kenyataan atau tindakan pemimpin PKR dan DAP biar pun kebanyakannya bertentangan dengan dasar dan prinsip perjuangan Pas.

 

Kalau pun ada yang bersuara hanya golongan ulama, namun ia tidak ke mana kerana cengkaman puak Anwarinas dikatakan cukup hebat, malahan satu sumber memberitahu penulis, sudah ada pemimpin Pas bertaraf ulama yang sudah dpengaruhi oleh golongan Anwarinas ini.

 

Dalam memperkatakan soal cengkaman Anwarinas ini, maka tulisan Ahli Majlis Penyelidikan, Dewan Ulama Pas pusat, Ahmad Mouyideen Hasyim di dalam laman web ulamak.pas.org.my pada 22 September lalu amat menarik untuk dikaji. Ini kerana beliau mendedahkan pula bagaimana wujud satu kumpulan baru dalam Pas yang menggelarkan diri mereka Islamist Democrats' .

 

"Jelaslah, golongan ini menggunakan istilah Islamist Democrats adalah untuk membezakan diri mereka dengan golongan yang mereka labelkan sebagai Islamist dalam Pas. Golongan Islamist pada pandangan mereka adalah golongan yang memperjuangkan doktrin negara Islam dan pelaksanaan undang-undang Islam," tulis Ahmad Mouhyideen.

 

Apa yang menarik, beliau turut menulis, "Daripada istilah Islamist yang membawa maksud pejuang demokrasi yang Islamik, kita dapat fahami bahawa asas perjuangan golongan ini adalah demokrasi dan Islam hanyalah sifat kepada perjuangan tersebut.

 

"Penekanannya adalah kepada demokrasi sementara Islam hanya untuk memperincikan lagi siri demokrasi tersebut. Dari sudut ini, golongan ini telah membuat kesilapan yang sangat besar.

 

"Secara tidak sengaja, ia telah menukar penekanan daripada perjuangan Islam kepada perjuangan demokrasi. Istilah ini juga seterusnya meletakkan ciri Islamik menjadi hanya salah satu ciri sahaja kepada Pejuang Demokrasi."

 

Sememangnya kita tidak pasti sejauh manakah golongan Islamist Democrats ini sudah melebarkan pengaruh mereka di dalam Pas tetapi apa yang pasti ciri-ciri golongan ini jika tulisan Ahmad Mouhyideen dirujuk tidak ada bezanya dengan golongan Anwarinas.

 

Ia memandangkan beliau menekankan, "Justeru, tidak peliklah mereka mengelak daripada memperjuangkan dasar Pas yang amat jelas dan syumul. Mereka mengesa agar Pas tidak menimbulkan isu hudud kerana perbincangan dan perdebatan isu ini pada pandangan mereka membawa kesan yang negatif."

 

Mungkin ramai pemimpin Pas terutamanya golongan pro-Anwarinas akan berasa tidak selesa dengan tulisan Ahmad Mouhyideen namun jika dikaji secara mendalam beliau secara ikhlas ingin memberi peringatan kepada penyokong-penyokong parti itu mengenai wujudnya satu kelompok yang boleh menggugat dasar perjuangan Pas.

 

Mereka perlu faham imej parti itu semakin merudum dan keyakinan orang Islam bahawa Pas akan meneruskan perjuangan Islam semakin terhakis. Ini memandangkan orang Melayu percaya bahawa Pas kini bukanlah lagi dikuasai oleh golongan ulama yang akan mampu mempertahankan perjuangan parti tersebut.

 

Oleh itu, 'pendedahan' Ahmad Mouhyideen ini boleh dianggap satu lagi peringatan bagaimana Pas kini semakin berceramuk dengan usaha puak-puak tertentu untuk menguasai parti berkenaan demi mencapai cita-cita politik mereka.

 

Dalam soal ini, golongan ulama seharusnya menyedari bahawa jika mereka masih lagi mahu berdiam diri dan mengamalkan sikap terlalu bertolak ansur dengan golongan Anwarinas atau Islamist Democrats semata-mata untuk menjaga kepentingan politik Pas menjelang pilihan raya, percayalah kelompok ulama akan terus terpinggir dan tidak akan dihiraukan lagi kewujudan mereka.

 

Kita sudah saksikan bagaimana ketika golongan ulama mengecam keceluparan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dalam isu demonstrasi membantah penerbitan filem Innocence of Muslims, ada di kalangan pemimpin Pas seolah-olah tidak menghormati ketegasan berkenaan.

 

Mereka menganggap kenyataan Koo Ham sebagai peribadi dan ia sama sekali tidak akan menggugat hubungan Pas dengan DAP dalam pakatan pembangkang.

 

Sememangnya tidak salah jika golongan ulama mahu mementingkan perpaduan dalam parti bagi mengelakkan tercetus perpecahan menjelang pilihan raya tetapi dalam masa yang sama mereka tidak boleh dilihat terlalu tunduk untuk melawan kelompok Anwarinas atau Islamist Democrats dalam parti itu.

 

Jika golongan ulama tidak mahu melihat Pas terus diperkotak-katikkan, maka mereka perlu menunjukkan ketegasan, puak Anwarinas dan Islamist Democrats harus ditentang habis-habisan. Ia memandangkan kewujudan kelompok berkenaan telah menyebabkan Pas dianggap bercelaru dalam perjuangannya.

 

Tambahan pula Ahmad Mouhyideen sendiri menegaskan, perjuangan golongan Islamist Democrats bercanggah dengan perjuangan Pas dan gerakan Islam yang lain. Tegas beliau, perjuangan mereka tidak boleh diterima kerana asas perjuangan mereka adalah demokrasi, bukannya Islam.

 

Justeru, jika puak-puak ulama di dalam Pas masih membiarkan golongan Anwarinas atau mereka dikenalpasti sebagai Islamist Democrats membuat kenyataan dan tindakan bertentangan dengan apa yang diperjuangkan oleh golongan ulama, ia sudah tentulah akan merugikan politik parti tersebut.

 

Apa pun sudah jelas kini, Pas semakin berserabut dengan berceramuk dengan kewujudan pelbagai kumpulan yang mahu menguasai parti itu dan segala-galanya berlaku akibat ketaksuban dan terlalu percaya dengan janji-janji politik PKR dan DAP bahawa mereka akan menguasai Putrajaya dan sekali gus menumbangkan kerajaan BN.

 

Tetapi hakikatnya, semua orang sudah menyaksikan bagaimana sejak bersahabat dengan kedua-dua parti itu, Pas lebih banyak ruginya daripada untung sehingga timbul anggapan bahawa dalam pilihan raya umum nanti parti itu akan menjadi lebai malang menang sorak kampung tergadai.

 

1 comment:

  1. Pas macam tunggul kayu burok.. tunggu masa utk rebah...

    ReplyDelete