Masa depan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa dalam parti itu bakal ditentukan dalam Majlis Syura Ulama Pas yang dijangka membuat keputusan mengenainya malam ini.
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada mesyuarat berkenaan dan enggan mengulas sama ada Ahli Parlimen Bachok itu akan kekal atau tidak dalam Pas.
Bagaimanapun, Menteri Besar Kelantan itu hanya akan menghadiri mesyuarat berkenaan jika keadaan kesihatan beliau mengizinkan.
"Tunggu esok (malam ini) memang ada (perbincangan mengenai Nasharudin). Pagi mesyuarat agung dan petang ada jamuan raya. Kita tengok mesyuarat esok macam mana.
"Dia (Nasharudin) manusia. Apa dok bising sedangkan orang lain pun manusia biasa juga. Dia manusia biasa, malah dia bertanding tiga penjuru pun kalah," katanya pada majlis Himpunan Pendidik Islam 2012 bertemakan 'Pendidik Menjana Kebijaksanaan' yang dirasmikan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan, Dr Halimah Ali di sini, semalam.
Nasharudin sebelum ini mencetuskan kontroversi menerusi kenyataannya yang mahu Pas meninggalkan Pakatan Rakyat selain melabelkan Pengerusi DAP, Karpal Singh sebagai anti-Islam berikutan pendirian Karpal yang menolak pelaksanaan hudud.
Keadaan menjadi lebih hangat apabila Karpal bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap Nasharudin.
Petikan dari Sinar Harian.
No comments:
Post a Comment