Minda Hijrah Headline Animator

Friday, August 17, 2012

Tanda Putera: Kit Siang mahu saman fitnah

Penasihat DAP, Lim Kit Siang telah mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang berhubung kenyataan berbaur fitnah, didakwa dibawa oleh Facebook filem Tanda Putera, yang berkisar tentang rusuhan 13 Mei dan perkembangan berkaitan.

Ahli Parlimen Ipoh Timur ini berkata, ekoran dakwaan tidak berasas Penerbit Eksekutif Tanda Putera, Aida Fitra Buyong, beliau telah mengarahkan peguamnya memulakan tindakan perundangan berhubung fitnah yang dilemparkan.

Dalam kenyataan diperoleh dari blognya hari ini, Kit Siang berkata, beliau tiada pilihan kecuali mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap dakwaan fitnah yang dibuat menerusi Facebook.

“Tuduhan yang dibuat Aida Fitra bahawa saya telah bertindak secara defensif di atas gambar saya yang dimuat naik di laman rasmi Facebook filem Tanda Putera, bahawa saya telah kencing di tiang bendera yang mengibarkan bendera negeri Selangor, ketika itu rumah kediaman Menteri Besar Selangor, serta provokasi rusuhan 13 Mei 1969, merupakan satu dakwaan tidak berasas langsung, liar dan menjijikkan," kata Kit Siang lagi.

"Saya tidak tahu selain Facebook rasmi Tanda Putera, yang menggunakan kapsyen: 'Lim Kit Siang telah kencing di bawah tiang bendera Selangor yang terpacak di rumah Menteri Besar Selangor ketika itu, (Datuk) Harun Idris', kapsyen sedemikian berdasarkan pembohongan ganas dan tidak bertanggungjawab, turut ada diposkan di mana-mana (lokasi) ruang siber," katanya lagi.

Dalam kenyataannya, Kit Siang juga berkata, adakah penerbit filem itu mengharapakan "saya hanya akan mendiamkan diri manakala mereka terus menerus membuat fitnah berhubung rusuhan 13 Mei 1969, berhubung insiden saya kencing di rumah kediaman Menteri Besar Selangor."

Sehubungan itu tegas Kit Siang, bagaimana kenyataan sedemikian boleh disiarkan sedangkan  beliau sebenarnya tidak berada di Kuala Lumpur pada 11, 12 dan 13 Mei 1969.

Dua hari lalu, pengarah filem itu menegaskan bahawa jalan ceritanya tidak ada kaitan dengan pemimpin DAP yang dimaksudkan ramai pihak.


No comments:

Post a Comment