Minda Hijrah Headline Animator

Sunday, August 26, 2012

Adakah Pas Akan Pecat Nasharudin Mat Isa?

Adakah Pas akan memecat bekas Timbalan Presiden partinya, Nasharudin Mat Isa ? Krew media Isma cuba mendapat jawapan daripada salah seorang ahli jawatankuasa Pas pusat, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa, namun beliau enggan mengulas.

"Tiada Komen," katanya ringkas. Jawapan sama turut diberikan ketika diminta pandangan akar umbi yang mendakwa Pas kini sedang diperkotakkatikkan oleh DAP.

14 Ogos lalu, Nasharuddin Mat Isa meminta pucuk pimpinan Pas menyatakan pendirian sebenar parti itu berhubung penolakan secara konsisten DAP dan Pengerusinya, Karpal Singh terhadap cita-cita menubuhkan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud atau keluar segera daripada pakatan pembangkang.

Gesaan Nasharuddin ekoran timbulnya keresahan di kalangan penyokong-penyokong di peringkat akar umbi selepas DAP dan Karpal berterusan menolak asas perjuangan Pas.

"Sebagai ahli parti, saya minta Pas nyatakan pendirian sebenar mereka berhubung isu ini. Ahli-ahli di peringkat akar umbi resah apabila melihat keadaan yang berlaku antara Pas dan DAP.

"Nampaknya DAP dan Karpal secara konsisten menolak penubuhan sebuah negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud. Sesuatu perlu dilakukan dan bagi saya Pas perlu keluar daripada pakatan pembangkang," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Karpal baru-baru ini yang menegaskan pelaksanaan hukum hudud dan penubuhan negara Islam oleh Pas adalah perkara yang paling tidak dipersetujui parti tersebut.

Menurut Karpal, DAP konsisten berhubung perkara itu dan pendirian parti tersebut tidak pernah berubah sejak sekian lama malah akan terus mempertahankannya.

Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor menambah, bantahan beliau yang mewakili DAP itu berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan yang tidak membenarkan perkara itu dilaksanakan.

Berikutan penentangan berterusan Karpal itu, beberapa ulama menegaskan adalah haram dan berdosa umat Islam menyokong parti yang bersekongkol dengan DAP kerana parti tersebut jelas menolak pelaksanaan hukum Islam.

Menurut Nasharuddin, penyokong-penyokong Pas ketika ini amat tidak senang melihat DAP dan Karpal berterusan menolak pelaksanaan hukum Allah yang selama ini menjadi asas perjuangan parti berkenaan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok berkata, selagi Pas berada dalam pakatan pembangkang usaha menubuhkan negara Islam dan menjalankan hukum hudud tidak akan terlaksana kerana hasrat itu sentiasa mendapat tentangan DAP.

"Apa yang dilakukan DAP dan Karpal ini berkaitan dengan penentangan terhadap pelaksanaan hukum-hukum yang telah ditetapkan Allah SWT," ujarnya.

Nasharudin turut menafikan dakwaan akan menyertai UMNO ekoran paparan gambar beliau menyertai Perdana Menteri dalam pertemuan dengan tokoh-tokoh ulama sempena Persidangan Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berlangsung di Arab Saudi baru-baru ini.

"Pertemuan yang diadakan itu langsung tidak membincangkan mengenai politik apatah lagi Pas atau UMNO," katanya.

1 comment:

  1. Keengganan nasha bersahabat dengan DAP dan syaitan bakal menerima padah. Selamat tinggal syurga PAS buat nasha.

    ReplyDelete