Minda Hijrah Headline Animator

Friday, July 13, 2012

Free Malaysia Today : Pengundi Tmn Medan tolak Haniza, PKR

PAS mahu meletakkan calon di kerusi DUN Taman Medan yang kini diwakili PKR dengan alasan pengundi menolak parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

PAS menggunakan ukuran itu berdasarkan bancian bebas yang dibuat terhadap 800 pengundi bukan PAS di DUN Taman Medan.

Kerusi Taman Medan diwakili Timbalan Speaker kerajaan negeri Selangor, Haniza Talha yang menang dalam pilihan raya umum 2008 selepas mengalahkan calon BN, Munaliza Hamzah dengan majoriti lebih 4, 000 undi.

Bagaimanapun, Yang DiPertua PAS Petaling Jaya Selatan, Ghazali Shaari parti itu mahu bertanding di DUN Taman Medan dalam pilihan raya umum kali ini kerana mendakwa pengundi telah menolak wakil rakyat PKR itu.

Katanya, bancian oleh sebuah syarikat bebas mendapati pengundi menolak Haniza serta calon PKR lain dalam PRU 13 kelak.

"Tinjauan  itu dibuat oleh sebuah syarikat bebas membabitkan 800 penduduk dan penyokong parti politik di Taman Medan tetapi tidak membabitkan penyokong dan ahli PAS.

"Dalam tinjauan tersebut, 85 peratus pengundi  India dan Cina mahu calon PAS. Manakala 35 peratus pengundi Melayu mahu calon PAS.
"Kira-kira 25 peratus sahaja pengundi Melayu mahu PKR," kata Ghazali lagi.

Kerusi majoriti Melayu

Menurutnya, bancian itu dibuat bagi mengetahui sikap pengundi Taman Medan selepas pilihan raya umum 2008 dengan tidak membabitkan pengundi PAS.

Ghazali berkata, ada kira-kira 40, 000 pengundi di Taman Medan dan 60 peratus adalah pengundi Melayu.

"Hasil bancian itu menunjukkan pengundi Taman Medan akan menolak Haniza jika beliau bertanding sekali lagi dalam PRU 13.

"Mereka mahu calon PAS kerana kerusi Taman Medan merupakan kawasan tradisi parti Islam itu," kata Ghazali lagi.

Pada pilihan raya umum 2004 berlaku pertandingan tiga penjuru membabitkan calon dari PKR, PAS dan  Umno.

Menurut Ghazali lagi, mesyuarat antara PKR dan PAS Petaling Jaya Selatan untuk menentukan parti mana bertanding menemui kegagalan.

Kata beliau, PKR berkeras mahu meletakkkan calonnya atas alasan parti itu menang dalam pilihan raya umum 2008.

"Saya telah menghantar laporan kepada PAS negeri, kini biarlah mereka membuat keputusan mengenai kerusi Taman Medan.

"PAS tidak setuju kerana pengundi telah menolak PKR, selain menegaskan kerusi Taman Medan adalah kersusi PAS.

"Jika rundingan peringkat atasan gagal, ia akan mengulangi pilihan raya 2004 di mana saingan tiga penjuru membabitkan calon PAS, PKR dan Umno," katanya lagi.

Sumber : www.freemalaysiatoday.com

rockyKCD - Rakyat dah ramai tolak parti sosialis dan sekular PKR :)

1 comment:

  1. Biar parti memutuskan pencalon. kita tidak perlu bercanggah terhadap kerusinya. semua pun pakatan tak kira Pas, Pkr atau Dap.Siapa dapat rakyat akan bantu dan menentukan PRU 13. Berhati hati, rakyat sekarang sudah matang habis.Biarlah sesiapa pun Dun buat kerja untuk rakyat.Ada sebahagian mereka hendak sabotaj Adun, jadi beliau tidak boleh gerak dan rugi itu ialah bukan kumpulan sabotaj, rakyat di situ akan menghadapi masalah besar kian. Jadi bagi peluang untuk Adun berkerja di tempat masing masing. Sekian T. kasih.Rameskaanth, Pertubuhan Naam Tamilar,Malaysia.

    ReplyDelete