Minda Hijrah Headline Animator

Saturday, June 30, 2012

Tun Mahathir mahu Marina jauhi Bersih 2.0

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berharap anaknya, Datin Paduka Marina Mahathir tidak meletakkan diri terlalu rapat dengan Bersih 2.0 atau gerakan lain yang antikerajaan kerana ia tidak baik untuk dirinya.
 
Dalam satu wawancara khas bersama The Malaysian Observer (MobTV), Dr Mahathir berkata, beliau tidak bersetuju dengan beberapa perkara yang dilakukan anaknya itu sejak akhir-akhir ini dan berharap Marina sedar akan kesilapannya.
 
Pada Bersih 2.0 tahun lalu dan perhimpunan Bersih 3.0 April lalu, Marina dilihat bersama dengan puluhan ribu demonstran lain menuntut lapan tuntutan yang mahukan pilihan raya umum  yang bersih dan adil.
 
"Bersih telah dirampas oleh pemimpin pembangkang, saya tidak suka beliau meletakkan dirinya dekat dengan gerakan itu.
 
"Beliau tidak pernah katakan ini, tapi Bersih dan beberapa gerakan lain didakwa ada kaitan dengan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). Dia tidak pernah kata sokong lelaki kahwin lelaki, perempuan kahwin perempuan dan saya harap dia maksudkannya," katanya.
 
Katanya lagi, Marina perlu mewujudkan sempadan berkenaan isu LGBT iaitu sejauh mana beliau memberi sokongan kepada golongan itu dalam sebuah negara seperti Malaysia.
 
"Memang beliau seorang aktivis yang menolong ramai orang termasuklah golongan ini, tapi dia perlu jelaskan pendiriannya," katanya.
 
Selain itu, Dr Mahathir turut berharap Marina menyedari apa yang dilakukannya sekarang boleh menjejaskan peluang abangnya, Datuk Mukhriz Mahathir memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.
 
"Saya rasa beliau bukan ahli, tetapi beliau perlu lebih sensitif mengenai nasib abangnya," katanya.
 
Ditanya mengenai khabar angin yang mendakwa Mukhriz bakal dicalonkan menjadi Menteri Besar Kedah sekiranya Barisan Nasional (BN) berjaya menawan semula negeri tersebut, Dr Mahathir menegaskan ia terpulang kepada keputusan parti.
 
Katanya, isyarat bahawa Mukhriz mungkin menjadi calon Menteri Besar apabila parti memilihnya untuk menjadi calon Dewan Undangan Negeri (Dun) dan bukannya calon Parlimen.
 
"Saya akan tolong dan menyokong apa yang dilakukan Mukhriz, tetapi segalanya terpulang pada parti. Walaupun beliau tidak dipilih jadi Menteri Besar, saya akan tetap sokong," katanya.

No comments:

Post a Comment