Minda Hijrah Headline Animator

Friday, June 29, 2012

Dewan Rakyat: Kerajaan diminta batal keputusan roboh BB Plaza

Kementerian Pengangkutan digesa campurtangan untuk membatalkan keputusan merobohkan Bukit Bintang Plaza (BB Plaza) yang dilihat sebagai pusat perniagaan strategik orang Melayu di Kuala Lumpur.

Pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini, Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) berkata selain menjadi kerisauan peniaga, isu itu turut mengundang persepsi negatif orang Melayu yang mula merasakan kepentingan mereka semakin mudah terhakis.

"Kementerian ada kaitan dengan perancangan untuk membina MyRapid Transit (MRT). Jadi, setuju atau tidak kita minta kementerian campurtangan dan pastikan kalau betul serius dalam setiap agenda mempertahankan kepentingan Melayu dalam bandar, hentikan cadangan merobohkan BB Plaza," katanya.

Ibrahim berkata demikian ketika mencelah semasa perbahasan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2012.

Semalam, Timbalan Presiden Kanan UDA Holdings Berhad Syed Ahmad Nazri Syed Kamaruzaman dilaporkan berkata kompleks BB Plaza dijangka dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek MRT.

Ibrahim berkata kementerian dan pihak berwajib harus bertolak ansur demi kepentingan 167 penyewa Bumiputera.

"Sekarang ini peniaga bersedih, berdukacita dan macam-macam, malah saya terima SMS rungutan dan rasa tidak senang hati mereka. Carilah pilihan lain supaya ia tidak sentuh bangunan untuk orang Melayu berniaga," kata Ibrahim.

Bagi Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan), walaupun jelas dengan kehendak kementerian iaitu untuk memudahkan perjalanan warga Kuala Lumpur, beliau sependapat dengan Ibrahim supaya tindakan merobohkan BB Plaza dibatalkan demi kebaikan peniaga Melayu.

Beliau kesal bagaimana pihak berkenaan boleh mengeluarkan notis berpindah sedangkan pusat itu menjadi lokasi peniaga mencari rezeki, lebih-lebih lagi ketika Ramadan yang membolehkan peniaga meningkatkan jumlah pendapatan, semakin hampir.

"Saya sehaluan dengan Pasir Mas supaya pihak berwajib batalkan hasrat untuk meroboh, mengambil alih BB Plaza sebab ada orang Melayu berniaga dan bergantung hidup di situ," katanya.

BB Plaza yang dibuka pada 1979 terletak di kawasan Bukit Bintang yang menjadi tumpuan ramai termasuk pelancong asing.- Bernama

2 comments:

  1. Tak tau pulak BB plaza ramai melayu. kenapa selalu kawasan melayu jadi mangsa? Apasal tak nak robohkan plaza Low yat plak? Tak boleh carik alternatif laluan lain ker utk mrt?

    ReplyDelete
  2. sebab dia nak dirobohkan...ibrahim ali x buat senaman punggung...ape lg buatlah...kahkahkah

    ReplyDelete