Minda Hijrah Headline Animator

Tuesday, May 15, 2012

Tun Mahathir: Generasi muda tidak punya sebab tidak membaca

Tun Dr Mahathir Mohamad, yang dinamakan sebagai Ikon Membaca Kebangsaan, berkata generasi muda yang kini dikelilingi peralatan canggih seperti komputer leper tidak mempunyai sebab untuk tidak membaca.

Beliau berkata membaca menjadi lebih mudah pada zaman sekarang kerana terdapat alat seperti Ipad dan Samsung Galaxy Tab, yang boleh memuatkan bukan sahaja satu atau dua buah buku tetapi 1,500 buah buku di dalam perisiannya.

Dr Mahathir berkata kemudahan perkakas itu seharusnya menjadikan membaca sebagai satu keperluan ke arah pemupukan budaya membaca.

"Dengan itu, kita tidak perlu membeli semua buku-buku itu. Dengan peralatan sedemikian, kita boleh membaca buku-buku tersebut sampai habis. Inilah kemudahan yang ada sekarang berbanding zaman dahulu," katanya pada Bicara Perdana Ikon Membaca Kebangsaan, hari ini.

Pada majlis itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melancarkan Ikon Membaca Kebangsaan dan Penyemarakkan Amalan Nilai-Nilai Murni di Perpustakaan Negara, di sini.

Dr Mahathir berkata membaca bukan sahaja punca kepada ilmu tetapi juga akan membantu mempertingkatkan penguasaan bahasa selain menghiburkan seperti membaca buku-buku novel.

"Saya akui saya tidak berminat mempelajari tatabahasa bahasa Inggeris tetapi dengan membaca berkali-kali, ia dapat membetulkan tatabahasa saya," katanya yang menjelaskan apabila manusia membuat sesuatu dengan berkali-kali, ia akan menjadikan seseorang itu lebih cekap.

Beliau turut berasa kagum apabila kadar membaca rakyat telah meningkat daripada dua buah buku pada 2005, meningkat kepada lapan hingga 12 buah buku setahun pada 2010.

Bagaimanapun, katanya kadar membaca rakyat di Jepun yang tinggi iaitu purata 40 buah buku setahun menunjukkan pengetahuan dan kemajuan mereka lebih baik.

"Mereka lebih berpengetahuan dan maju kerana lebih menguasai ilmu, lebih mendapat maklumat yang bertujuan untuk membangunkan negara supaya dunia menghormati dan memandang tinggi terhadap negara mereka.

"Kita juga boleh berbuat demikian tetapi ini bergantung kepada keinginan kita," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment