Minda Hijrah Headline Animator

Friday, May 18, 2012

Tun Mahathir: Ekstremis halang Cina sokong BN

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata puak ekstremis Cina dilihat memainkan peranan bagi menghalang sokongan kaum itu terhadap Barisan Nasional (BN).

 

Dr Mahathir berkata, sekalipun sokongan rakyat kini semakin berpihak kepada BN dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13, sokongan kaum Cina masih dilihat sebagai penentu kepada kejayaan BN.

 

"Undi kaum Melayu berpecah tiga (Umno, PAS dan PKR), undi (kaum) Cina jadi undi penentu, (berdasarkan fakta itu) puak ekstremis ini mahu kaum Cina memainkan peranan lebih besar (dalam menentukan hala tuju politik negara)," katanya di sini, hari ini.

 

Beliau ditemui pemberita selepas menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan Automotif Univerisiti Malaysia Pahang, di sini.

 

Majlis penganugerahan itu disempurnakan Canselor UMP, Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada Majlis Konvokesyen Khas UMP.

 

Dr Mahathir berkata, majoriti kaum Cina di negara ini adalah dalam kalangan mereka yang berfahaman sederhana dan bukanlah ekstremis.

 

Namun, beliau berkata, puak ekstremis inilah yang memainkan pelbagai isu termasuk isu sensitif yang dilihat boleh menggugat perpaduan dan kesejahteraan yang dikecapi rakyat pelbagai kaum di negara ini.

 

"Apabila puak ekstremis ini kata (sesuatu), dia (golongan sederhana) tak berani nak lawan," katanya.

 

Dr Mahathir bagaimanapun yakin, pilihan raya umum ke-13 nanti akan lebih baik buat BN, berbanding pilihan raya umum pada 2008.

 

Mengulas laporan akhbar berhubung bekas Naib Pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang didakwa cuba dirasuah sebanyak RM50,000 supaya menutup mulut dalam isu peletakan jawatannya, Dr Mahathir berkata Tunku Abdul Aziz adalah seorang yang cukup berintegriti.

 

Dr Mahathir berkata, pada peringkat awal lagi beliau agak terkejut apabila Tunku Abdul Aziz menyertai DAP.

 

"Saya tak fikir saya ini rasis sangat. DAP kata ia bukan parti racial, tapi sebenarnya ia adalah parti kecinaan, lebih utamakan kecinaan," katanya.

 

"Dia (Tunku Abdul Aziz) berpegang kepada prinsip yang tinggi, saya terkejut dia masuk DAP, tak nampak signifikan bila masuk DAP, bila masuk dia dapat gambaran sebenarnya," katanya. - Bernama

2 comments:

  1. apakah mahathir telah lupa bagaimana pengundi cina telah menjadi penyelamat kepada umno bn selepas reformasi 98 yang mana rata2 pengundi melayu pada masa itu telah berpihak kepada BA.kalau bukan pengundi cina pada masa itu sudah pasti umno bn telah terkubur dalam pru yang diadakan selepas reformasi. apakah Mahathir telah lupa atau buat2 lupa. harus diingat rakyat sekarang lebih bijak untuk memilih dan mengundi dalam memilih pemimpin mereka. Itu yang Tun harus ingat.. segala maklumat hanya dihujung jari.. jangan salahkan sesuatu kaum bila tidak mendapat sokongan sudah.

    ReplyDelete
  2. Apa kau merepek ni wahai anon 10:47am?

    ReplyDelete