Minda Hijrah Headline Animator

Monday, April 9, 2012

Perlukah Demo Bantah PTPTN?

RANCANGAN Adam Adli dan kumpulan mahasiswa pimpinannya untuk mengadakan demonstrasi dari Dataran Merdeka ke Padang Merbok membantah pinjaman Perbadanan Tabung Tinggi Negara (PTPTN) pada 14 April nanti agak mengganggu penulis.

 

Ada beberapa faktor yang menyebabkan penulis terganggu dengan rancangan mengadakan demonstrasi ini.

 

Pertama, Adam Adli tidak mempunyai pengaruh yang besar di kalangan mahasiswa di seluruh negara.  Gambar-gambar dia dikasari dalam satu kejadian di Flat Kg Kerinchi tempoh hari jelas menunjukkan penolakan masyarakat terhadap kehadirannya yang hanya disifatkan 'pengacau'.

 

Tanpa keupayaan menggerakkan mahasiswa dalam jumlah yang besar, bagaimana dia boleh diharap untuk memimpin demonstrasi itu nanti kerana tidak ada makna demo membantah PTPTN yang tidak mendapat sambutan mahasiswa!!

 

Itu belum bercakap tentang ketiadaan sokongan dari kumpulan pro Aspirasi yang memang diketahui menyebelahi kerajaan.

 

Dengan demonstrasi pada 14 April ini dikatakan menjadi 'warming up' untuk demonstrasi Bersih 3.0 yang lebih besar diadakan pada 28 April nanti, penyertaan lebih ramai mahasiswa adalah penting kerana kita tidak mahu diakhirnya nanti, rakyat menuduh gerakan seperti ini bermotifkan politik semata-mata

 

Kedua, isu utama yang dibangkitkan UMNO sekarang ialah ketiadaan PTPTN akan menjejaskan banyak kolej swasta yang bergantung kepada pinjaman tersebut untuk beroperasi.  Mengikut kaji selidik yang dijalankan, ketiadaan PTPTN akan menutup lebih 90% kolej swasta di seluruh negara.

 

Pakatan Rakyat masih tidak ada jawapan kepada persoalan tersebut lagi.  Seperti yang disebutkan Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa minggu lepas, perincian mengenai penghapusan PTPTN akan dibuat oleh sebuah jawatankuasa khas dalam Pakatan Rakyat.

 

Kebimbangan pemilik dan pengusaha kolej swasta ini juga penting kerana mereka melihat kepada potensi perniagaan yang bakal terjejas sekira penghapusan PTPTN ini disebut ddalam ruang lingkup 'menghapuskan hutang' semata-mata.

 

Ketiga, bagaimana anak-anak golongan miskin dan sederhana mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi selepas PTPTN dihapuskan?  Sama seperti di atas, kita juga masih belum mempunyai jawapan kepada persoalan tersebut.

 

Tidak hairanlah kenapa Ahli Parlimen Balik Pulau, YB Yusmadi Yusof seperti di petik Sinar Harian disini juga telah memberikan bayangan bahawa ada besar kemungkinan PTPTN tidak akan dihapuskan sepenuhnya, sebaliknya hanya dirombak!!

 

Rombak dalam erti kata memastikan pelajar cemerlang dari keluarga yang kurang berkemampuan masih ada peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi sama ada IPTA atau IPTS.  Keluarga yang dari segi pendapatannya tinggi tapi mempunyai jumlah anak yang ramai juga perlu diambil kira.

 

Pendek kata, masih ada banyak persoalan yang lebih besar akan timbul dalam soal penghapusan PTPTN ini yang perlu dijelaskan kepada rakyat, terutama golongan pengusaha kolej swasta dan ibubapa dari golongan miskin dan pertengahan.

 

Demonstrasi seperti ini hanya akan memberi tekanan kepada jawatankuasa yang telah ditubuhkan untuk menjawab semua persoalan yang tercetus dari idea penghapusan PTPTN ini.

 

Justeru amat wajarlah semua dari kita termasuk Adam Adli menunggu sehingga jawatankuasa ini menyelesaikan dahulu tugas masing-masing mencari penyelesaian menyeluruh dalam soal penghapusan PTPTN ini.

No comments:

Post a Comment