Yang terlepas siri 1 boleh lihat di http://www.minda-hijrah.blogspot.com/2012/04/janji-2008-selangor-yang-belum-tertunai.html
Memberi Bantuan & Biasiswa Pelajaran Untuk Anak Selangor
Prosedur mengenai biasiswa dan bantuan di bawah janji ini masih lagi tidak boleh ditemui di mana-mana. Jika boleh dilaksanakan segera, penulis yakin ia akan memberi impak yang besar kepada rata-rata ibu bapa yang mempunyai anak yang bersekolah.
Kegagalan Pakatan Rakyat Selangor melaksanakan janji ini telah memberi peluang kepada kerajaan Persekutuan BN menceduk idea ini apabila memberikan wang persekolahan sebanyak RM 100 bagi setiap murid.
Penulis difahamkan bahawa biasiswa akan diberikan melalui Yayasan Selangor. Tapi butiran perbelanjaan Yayasan Selangor (2010) yang penulis perolehi menunjukkan tidak sesen pun dibelanjakan untuk tujuan pendidikan. (rujuk gambar diatas)
Memberikan Bantuan Kepada Anak-Anak Muda Untuk Mendirikan Rumah Tangga
Penulis jangka ketika YB Elizabeth Wong dan YB Hamidah Ali dilantik mengetuai program anti zina pada 2011 dengan peruntukkan berjuta ringgit, ia akan turut menyelitkan janji ini sebagai sebahagian daripada kempen tersebut. Tapi dukacita penulis katakan, kempen ini bukan setakat tidak melaksanakan janji yang disebutkan di atas, malah keberkesanannya juga masih menjadi tanda tanya kepada semua pihak.
Di samping itu, kerajaan negeri perlu juga menjelaskan dari segi bantuan bagaimana yang hendak diberikan itu. Adakah bantuan kewangan atau kelengkapan perkahwinan? Buat masa sekarang, semua pihak masih kabur dengan bentuk bantuan yang dijanjikan itu.
Mencarum Takaful Bernilai RM 2,500 Untuk Warga Emas, Orang Kurang Upaya & Anak Yatim
Ketika malapetaka tanah runtuh yang menimpa anak-anak yatim di Rumah Persatuan Anak Yatim Malaysia, Hulu Langat, penulis menjangkakan setiap seorang daripada mereka yang terkorban telah dilindungi oleh skim Insuran ini.
Malangnya apabila penulis dimaklumkan, kerajaan Selangor tidak mencarumkan anak-anak yatim ini dibawah skim di atas, malah pengendali rumah anak yatim tersebut juga tidak tahu dimana mahu memohon insuran tersebut untuk kanak-kanak dibawah seliaanya.
Itu menunjukkan golongan lain dalam kategori yang disebutkan di atas juga tidak dilindungi oleh skim insuran yang dijanjikan di atas. Penulis rasa perkara ini perlu disegerakan bagi menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri.
Memberi Elaun Ibu Tunggal Yang Layak
Jika ada janji yang perlu diberi keutamaan tertinggi, penulis lihat inilah janjinya – memberi elaun kepada ibu tunggal yang layak. Dengan jumlah kes perceraian yang tinggi di Selangor, ditambah dengan isteri yang kehilangan suami akibat kematian, janji ini bukan sahaja boleh membantu mengurangkan beban, malah mengelakkan gejala sosial yang disebabkan oleh anak-anak yang merasa tempias kehilangan bapa.
Apatah lagi bila, masalah kegagalan menunaikan nafkah oleh pasangan bercerai telah menjadi punca kepada kesusahan yang dialami oleh ramai ibu tunggal di Selangor terutama yang berpendapatan rendah.
Kerajaan negeri wajib mengutamakan janji ini, penulis mendengar proses pendaftaran sudah dijalankan, yang belum ialah elaunnya sahaja. Sedangkan itulah yang penting sekali untuk golongan ini. Laman web Wanita Selangor disini, tidak langsung menyentuh tentang pemberian elaun untuk ibu tunggal ini, pelik.
No comments:
Post a Comment