Minda Hijrah Headline Animator

Sunday, April 8, 2012

Bersih 3.0: Mampukah PR Mengumpul 500,000 Peserta?

HASRAT untuk mengadakan demonstrasi Bersih 3.0 pada 28 April ini memang dialu-alukan oleh semua penyokong Pakatan Rakyat.  Dengan ura-ura pilihanraya umum yang semakin dekat, inilah masa yang sesuai untuk memberi tekanan kepada kerajaan dalam soal membersihkan sistem pilihanraya negara ini dari sebarang bentuk penipuan yang menguntungkan pemerintah.

Walaupun dalam masa sama kita berjaya memenangi 80 dari 222 kerusi Parlimen, di samping menguasai 5 kerajaan negeri pada 2008, itu bukanlah tanda bahawa sistem pilihanraya kita benar-benar bersih dari salah guna kuasa.

Buktinya, apabila Pakatan Rakyat tewas 8 pilihanraya kecil berturut-turut sejak Bagan Pinang 2009, menunjukkan penyelewengan dan penipuan undi itu masih ada tapi dalam 'bentuk' yang lain pula.

Itu menjustifikasikan kenapa siri Himpunan Bersih ini perlu diadakan dari masa ke semasa.

Tapi dalam masa yang sama, penulis curiga dengan keupayaan Pakatan Rakyat mengumpulkan 500,000 peserta untuk menyertai demosntrasi Bersih 3.0 ini.  Beberapa demonstrasi sebelum ini pun gagal waima mengumpulkan jumlah peserta menghampiri separuh dari jumlah yang diwar-warkan pada asalnya.

Sebagai contoh Himpunan 901 (Membebaskan Anwar) berjaya mengumpul 5,000 orang dari sasaran 100,000, Himpunan Hijau di Kuantan dilaporkan 4 ribu orang dari sasaran 30,000 orang.  Ada laporan mengatakan sekitar 14 hingga 15,000 orang (Al-Jazeera) tapi itu masih jauh lebih kecil dari sasaran sebenar.

Manakala Himpunan Hijau di Maju Junction hanya berjaya mengumpulkan 200 orang dari sasaran 10,000 orang.

Bercakap tentang Himpunan Hijau di Kuantan, itupun dibantu oleh sejumlah besar peserta yang diangkut dari luar kawasan Kuantan untuk menyertai perhimpunan tersebut, sedangkan penduduk kawasan Balok sendiri (dimana kilang Lynas terletak), tidak pun berminat untuk menyertainya.

Belum lagi ditolak jumlah anak-anak bawah umur yang dibawa ibu bapa masing-masing menyertai perhimpunan tersebut.

Semua ini sebenarnya telah melemahkan moral penyokong Pakatan Rakyat yang hadir ke perhimpunan tersebut, tanpa disedari oleh kepimpinan atasan yang kelihatannya ghairah mencongak angka yang tidak realistik.

Kali ini penulis mendengar pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meluluskan penganjuran perhimpunan dengan 'callsign ' 428 ini dan tidak 'mengunci' bandaraya tersebut seperti yang dilakukannya dalam perhimpunan Bersih 2.0, Julai tahun lepas.

Dengan kelulusan KDN tersebut, tekanan untuk mengadakan 500,000 orang peserta bertambah meninggi.  Takut-takut kalau di akhirnya nanti, jumlah yang hadir masih kurang dari jumlah sasaran sebenar, ia akan menjadi malapetaka besar kepada Pakatan Rakyat dan melemahkan lagi persiapan kita dalam menghadapi pilihanraya umum yang ke 13 akan datang.

Justeru penulis menyeru kepimpinan Pakatan Rakyat yang juga sebagai penganjur Himpunan Bersih 3.0 ini, agar dapat mengemukakan jumlah yang lebih realistik agar moral penyokong Pakatan Rakyat bertambah meningkat.

Ini penting kerana laporan dari NDI (National Democratic Institute) yang menjadi perunding kepada strategi Pakatan Rakyat, telah mengesahkan bahawa jumlah peserta yang ramai dan menepati sasaran penganjur, mampu mempengaruhi rakyat dalam pilihanraya umum akan datang.

No comments:

Post a Comment