Minda Hijrah Headline Animator

Sunday, March 11, 2012

Masa terbaik bubar Parlimen kata Penganalisis Politik



Sokongan rakyat terhadap Kerajaan BN kian melonjak

Sudah tiba masa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembubaran Parlimen bagi membolehkan Pilihan 

Raya Umum Ke-13 (PRU-13) mengambil tempat berikutan sokongan rakyat yang semakin meningkat hasil pelbagai program transformasi. Sehubungan itu beberapa penganalisis berpendapat waktu terbaik untuk mengadakan PRU-13 penghujung Mei atau awal Jun depan dengan mengambil kira pelbagai faktor semasa termasuk keselesaan petugas pilihan raya membuat persiapan di sekolah yang dijadikan pusat mengundi.

Penganalisis politik, Prof Datin Paduka Dr Ramlah Adam, berkata, Perdana Menteri tidak harus melengahkan pembubaran Parlimen dalam waktu terdekat bagi memastikan momentum sokongan kepada kerajaan pimpinannya tidak merudum selepas mencapai kemuncak sokongan rakyat ketika ini.

Beliau berkata, dengan peningkatan sokongan rakyat sehingga 69 peratus berikutan pelbagai insentif dan penambahbaikan dilakukan Kerajaan Barisan Nasional (BN) termasuk pelbagai bantuan bagi meringankan beban rakyat, tidak mustahil tarikh ‘keramat’ itu akan umum dalam masa terdekat.

“Jika tidak dilaksanakan, dikhuatiri momentum yang sedang memuncak itu akan kembali ‘suam’, sekali gus mendatangkan risiko kepada pentadbiran Najib pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi semalam.
 
Kaji selidik terbaru Merdeka Center mendapati kadar sokongan rakyat terhadap pentadbiran Najib meningkat 10 peratus kepada 69 peratus selepas berjaya memulihkan prestasi ekonomi negara dan pelaksanaan pemberian wang bantuan kepada golongan berpendapatan rendah di bawah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Kajian mendapati Perdana Menteri mendapat sokongan kuat di kalangan rakyat yang berpendapatan kurang daripada RM1,500 sebulan, dengan empat per lima komuniti India dan 74 peratus masyarakat Melayu turut memberikan Najib sokongan.

Pensyarah Sains Politik Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Dr Azeem Fazwan Ahmad Farouk pula yakin sokongan terhadap Najib akan terus meningkat apabila penjawat awam mula merasai faedah daripada penambahbaikan Skim Saraan Malaysia (SSM).

Bagaimanapun, katanya, Perdana Menteri tidak seharus menunggu lebih lama untuk merasai peningkatan sokongan yang lebih tinggi kerana ia akan mendedahkan kerajaan kepada risiko.

“Dalam konteks politik Malaysia, bukannya ideologi parti yang penting tetapi parti mana yang boleh memberikan manfaat kepada rakyat dalam bentuk praktikal dan mampu dirasai dalam masa terdekat,” katanya.

No comments:

Post a Comment