Minda Hijrah Headline Animator

Saturday, March 31, 2012

Biseksual: Kenapa Writ Saman Masih Belum Diserahkan?


MINGGU ini dibuka dengan begitu cemerlang sekali apabila pasukan peguam yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya memfailkan saman berjumlah RM 100 juta ke atas Datuk Nallakarupan dan akhbar Utusan Malaysia yang menyiarkan kenyataan fitnah mengaitkan Anwar dengan kegiatan biseksual.
Malangnya, ‘kecemerlangan’ itu terhenti disitu sahaja kerana penulis difahamkan sehingga kini writ saman tersebut masih belum diserahkan kepada kedua defendan.

Apa masalahnya?

Sementara Nallakarupan tidak berundur walau seinci pun dari dakwaan jahatnya itu malah mengumpulkan pula hampir semua bekas pemimpin kuat PKR dan Ummi Hafilda untuk menguatkan lagi dakwaan mengenai moral Anwar yang dikatakan tidak sesuai untuk menjadikannya sebagai Perdana Menteri itu.

Penulis tidak langsung risaukan penyokong Pakatan Rakyat kerana telah ada ketetapan bahawa apa jua yang buruk dikatakan pihak yang satu lagi mengenai Anwar, adalah satu fitnah.  Begitu juga dengan penyokong Barisan Nasional yang akan menelan sahaja apa pun dakwaan buruk mengenai Anwar tanpa berminat menyelidik kebenaran di sebalik dakwaan tersebut.

Yang penulis bimbangkan ialah pengundi atas pagar, kerana kelompok ini membuat keputusan untuk mengundi pihak mana yang layak menjadi kerajaan, tanpa dipengaruhi kecenderungan politik tapi persepsi dan fakta.

Jelasnya, kegagalan menyerahkan writ saman tersebut dengan kadar yang segera ini memberi gambaran bahawa ada sesuatu yang cuba dielakkan Anwar dalam mendepani dakwaan Nallakarupan ini.  Apakah ‘sesuatu’ itu, penulis kurang pasti tapi penulis yakin jawapannya ada pada peguam Anwar yang mewakili beliau dalam kes tersebut.

Selain itu, jika writ saman telah diserahkan, Anwar boleh memohon injuksi Mahkamah melarang Nalla dan kuncu-kuncunya dari berterusan mengeluarkan kenyataan yang sama terhadap Anwar!!

Penulis yakin, pada Ahad yang akan datang ini entah apa lagilah dakwaan berbaur fitnah yang akan dilemparkan Nalla ke atas Anwar seperti mana yang dilakukannya pada minggu lepas, dengan menggunakan akhbar Mingguan Malaysia sebagai platform.

Apa pun kesilapannya, penulis harap peguam terbabit, R. Sivarasa dapat tampil menjelaskan kepada rakyat kenapa writ saman tersebut masih belum diserahkan kepada kedua defendan.  Adakah kerana kerani Mahkamah tidak buat kerja atau Sivarasa sendiri yang tidak buat kerja?

Harapannya, jangan ambil remeh soal ini kerana yang nak diyakinkan ini bukan penyokong Pakatan Rakyat mahupun penyokong BN (atas sebab yang telah dijelaskan di atas) tapi kelompok pengundi atas pagar yang lebih besar jumlahnya. - SuaraPakatanRakyat.com

No comments:

Post a Comment