Minda Hijrah Headline Animator

Friday, February 24, 2012

Selesai segera kes NFC, Kes pasir Adun PKR masih diteruskan

Panel Penilaian Operasi (PPO) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mahu siasatan terhadap kes Pusat Fidlot Nasional (NFC) diselesaikan segera bagi berlaku adil kepada semua pihak yang terlibat dalam skandal itu.

Pengerusinya, Tan Sri Dr. Hadenan Abdul Jalil berkata, siasatan itu perlu diselesaikan segera untuk mengelak pelbagai spekulasi berhubung kes itu.

"SPRM telah melengkapkan kertas siasatan itu tetapi ia telah dikembalikan oleh Jabatan Peguam Negara kerana ada beberapa perkara perlu disiasat lagi," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas PPO penggal pertama 2012 di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia di sini, hari ini.

Dr. Hadenan berkata, pihaknya telah diberikan penerangan mengenai proses siasatan kes itu pada satu mesyuarat khas.

"Kes ini disiasat oleh dua pihak iaitu SPRM dan polis," katanya.

NFC berdepan dengan kontroversi selepas Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober lepas menyatakan ia gagal memenuhi matlamat penubuhannya.

Mengenai mesyuarat hari ini, beliau berkata, panel itu antara lain membincangkan tiga kes berprofil tinggi termasuk yang membabitkan menantu Menteri Besar Kelantan, Abdul Ariffahmi Abd Rahman.

Kes terhadap Abdul Ariffahmi yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PBMK) telah ditutup kerana kekurangan bukti untuk melakukan pendakwaan terhadap beliau, katanya.

Abdul Ariffahmi disiasat SPRM atas dakwaan menyalahgunakan wang perbadanan negeri Kelantan dan isu berkaitan penerbangan isterinya ke Kuala Lumpur dan Dubai, yang didakwa menggunakan wang kerajaan negeri.

Dr. Hadenan berkata, kes membabitkan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda Mat Suhaimi Shafiei dan ADUN Batu Caves Amirudin Shari, yang disiasat oleh SPRM berhubung isu penyelewengan pasir di Selangor, masih diteruskan.

"Panel bersetuju kes ini diteliti semula oleh bahagian perundangan SPRM kerana ada beberapa perkara yang perlu disemak," katanya.

Menurutnya, hasil operasi SPRM terhadap kes penyelewengan pasir pada tahun lepas, seramai 43 orang telah ditangkap terdiri daripada 30 pegawai penguat kuasa dan 13 orang awam kerana dipercayai menerima suapan antara RM500 dan RM88,000.

Sementara itu, beliau berkata, SPRM menyita harta berjumlah RM24.4 juta menerusi 967 kes yang dapat diselesaikannya dalam tempoh enam bulan pada tahun lepas.

Dr. Hadenan berkata, daripada kesemua kes itu, jumlah harta yang dilucutkan hak pula ialah RM49 juta manakala hasil denda diperolehi SPRM ialah RM10 juta.

Beliau berkata, sepanjang tahun lepas juga, SPRM menerima 13,325 maklumat membabitkan pelbagai kesalahan seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa tetapi hanya 1,300 kes yang dibuka untuk siasatan.

"Kita hanya buka kertas siasatan yang mempunyai maklumat kukuh dan tepat bagi membantu kita menyiasat kes dilaporkan. Dari maklumat itu, sebanyak 3,458 adalah surat layang," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment