Minda Hijrah Headline Animator

Sunday, February 19, 2012

Antara perjuangan Hasan dan kenyataan Anwar

JIKA Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menarik balik kenyataannya menyokong segala usaha melindungi keselamatan Israel atau tidak menyaman The Wall Street Journal (WSJ), apakah pendirian Pas?

Itulah persoalan yang bermain di fikiran banyak pihak sekarang, berikutan kenyataan terbaru Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu untuk bertemu dengan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung isu berkenaan.

Biar pun sebelum ini Mursyidul Am Pas tersebut telah menyatakan bahawa Anwar perlu membuat kenyataan terbuka tetapi apa yang akan berlaku, Anwar masih tetap ingin berjumpa dengan Nik Abdul Aziz.

Justeru sudah wujud andaian-andaian bahawa sekali lagi Anwar akan dimaafkan oleh Pas, biar pun banyak tindakan beliau dilihat lebih banyak menyusahkan Pas sebelum ini.

Namun begitu, dalam isu Israel ini jika Pas tidak bertegas dengan pendiriannya untuk meminta Anwar menarik balik kenyataan atau menyaman WSJ, ia akan mewujudkan tanggapan bahawa gesaan Majlis Syura Ulama parti itu hanyalah 'hangat-hangat tahi ayam'.

Oleh itu, isu Israel ini dianggap ujian untuk Pas menyatakan pendiriannya sama ada hendak terus menyebelahi Anwar atau bersedia ditolak oleh rakyat terutamanya orang Islam kerana terlalu mementingkan hubungan politik dengan PKR dan DAP.

Selama ini pun orang melihat bagaimana Pas terlalu menjaga hubungan dengan Anwar sehinggakan apa sahaja yang dikatakan oleh pemimpin PKR itu jarang sekali disanggah.

Biar pun ada kenyataan atau tindakan Anwar dilihat tidak bersesuaian dengan perjuangan Pas yang akan turut terpalit kerana berada dalam kerjasama pembangkang tetapi Pas hanya mendiamkan diri.

Akibatnya, Pas dianggap 'pak turut' dan tidak berupaya membuat apa-apa bagi menunjukkan ia sebuah parti yang konsisten dan memegang prinsip yang benar itu benar dan yang batil itu batil.

Ramai yang menanti kesudahan pendirian Pas dalam isu Israel ini kerana mereka mahu melihat parti itu tegas seperti mana ketika mengambil tindakan ke atas Datuk Dr. Hasan Ali yang dianggap melanggar peraturan parti.

Pemecatan itu dilakukan oleh hanya disebabkan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu menasihatkan mahasiswa tidak menyertai himpunan menyokong Anwar pada 9 Januari lalu.

Biar pun bercakap atas dasar fakta tetapi Hasan dipecat oleh Pas kerana mereka tidak mahu kenyataan beliau menggugat kerjasama parti itu dengan PKR.

Apa yang paling mengecewakan pemecatan Hasan itu dikaitkan dengan desakan oleh pemimpin PKR sehingga meletakkan Pas tidak mempunyai pilihan.

Adalah sesuatu yang aneh jika Hasan yang bercakap atas dasar kebenaran dipecat oleh Pas sedangkan Anwar yang membuat kenyataan bertentangan dengan perjuangan Pas akan dimaafkan.

Berbanding dengan apa yang dilakukan oleh Hasan, ia jauh lebih baik berbanding kenyataan Anwar yang jelas-jelas mewujudkan kemarahan umat Islam.

Malahan kenyataan Anwar mengenai sokongannya terhadap sebarang usaha bagi melindungi keselamatan negara Israel telah dianggap melanggar fatwa ulama-ulama terkemuka.

Sebab itulah bekas Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa menyatakan, mereka yang membuat kenyataan menyokong Israel telah mengkhianati Allah, Rasul-Nya dan umat Islam.

Ini berbeza dengan perjuangan Hasan yang mahukan Pas kembali kepada perjuangan asalnya dalam memperjuangkan Islam.

Selain itu Hasan juga menyeru orang Melayu mempertahankan kedudukan mereka, Islam dan institusi raja-raja. Oleh itu apakah seruan ini jauh lebih salah jika hendak dibandingkan dengan kenyataan Anwar mengenai Israel?

Atas sebab itulah, Pas dinasihatkan oleh banyak pihak jangan memandang remeh isu terbaru melibatkan Anwar ini.

Mungkin sebelum ini, apabila ada sahaja isu berkaitan Anwar mereka menganggap ia sebagai fitnah dan konspirasi politik tetapi dalam isu menyokong keselamatan negara Israel ini, apa lagi yang Pas hendak hujahkan bagi mempertahankan Anwar?

Tambahan pula, Majlis Syura Ulama Pas sudah tentu membuat keputusan memberi kata dua kepada Anwar selepas meneliti segala fakta. Tak kanlah mereka membuat keputusan membuta-tuli sahaja.

Ini bermakna Pas dan Majlis Syura Ulama hanya menanti satu sahaja keputusan daripada Anwar sama ada menarik balik kenyataan atau menyaman akhbar berkenaan.

Kalau Hasan terus dipecat tanpa dipanggil membela diri atau sebarang kertas pertuduhan, apa istimewa Anwar di kaca mata Pas sehinggakan sudah diberi kata dua pun Pas masih boleh bertolak-ansur?

Jika Pas boleh memaafkan Anwar jika beliau tidak menarik balik kenyataannya atau menyaman WSJ, percayalah selepas ini yang akan terjejas teruk bukan sahaja reputasi Pas tetapi juga Majlis Syura Ulama.

Ia kerana selepas ini apa pun pendirian dan keputusan majlis itu akan dilihat lebih memikirkan kepentingan politik Pas dan segala ingatan, amaran atau desakan mereka hanyalah sandiwara semata-mata.

Ini belum lagi mengambil kira bagaimana orang akan membuat andaian bahawa terbuktilah golongan ulama tidak ada apa-apa kekuatan dalam Pas.

Selain itu, Pas juga tidak boleh salahkan sesiapa jika parti tersebut dianggap semakin hilang keyakinan untuk bergantung harap kepada pemimpin sendiri memandangkan dalam apa keadaan sekali pun kedudukan Anwar sebagai ketua pembangkang mahu dipertahankan.

Ramai yang mengharapkan agar Pas benar-benar tegas kali ini dengan bersedia melakukan tindakan drastik dalam hubungannya dengan pakatan pembangkang dan Anwar jika penasihat PKR tersebut tidak melaksanakan salah satu daripada syarat yang diberikan oleh Majlis Syura Ulama.

Namun begitu kita jangan berharap sangat kerana Nik Abdul Aziz sendiri pun sudah memberi kenyataan bahawa Pas akan terus bekerjasama dengan PKR dalam pakatan pembangkang.

Mungkin segalanya kerana Pas sudah terhakis keyakinan diri untuk bertarung sendirian dalam pilihan raya jika mereka tidak berganding bahu dengan PKR dan DAP.

Apa pun kita menanti hasil pertemuan antara Anwar dan Nik Abdul Aziz - seorang pemimpin yang sering sahaja menjadi tempat untuk pemimpin pembangkang yang bermasalah mengadu.

Dan sudah tentu rakyat mengharapkan satu sahaja hasilnya iaitu Anwar membuat kenyataan terbuka terhadap salah satu pilihan yang diberikan oleh Majlis Syura Ulama jika tidak Pas perlu bersedia menerima tempiasnya! - UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment