Minda Hijrah Headline Animator

Saturday, January 21, 2012

Peralihan portfolio Hal Ehwal Islam bukti Khalid tak percaya PAS - TMI

Tiga hari selepas pelantikan exco Selangor dan peralihan portfolio Hal Ehwal Islam oleh Tan Sri Khalid Ibrahim, PAS kini berdepan dengan krisis mendapatkan kepercayaan komponen Pakatan Rakyat untuk memegang urusan pentadbiran negeri biarpun dalam hal berkaitan Islam, dakwa Utusan Malaysia hari ini.

Akhbar milik Umno itu dalam laporan muka depan bertajuk "MB tak percaya PAS" mendakwa Khalid mengambil alih portfolio Hal Ehwal Islam yang sebelum ini disandang Datuk Dr Hasan Ali kerana sudah tidak mempercayai parti Islam itu untuk memegang urusan pentadbiran negeri itu.

Pengerusi Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) Hamidzun Khairuddin berkata, tindakan itu juga menunjukkan peranan PAS semakin kecil di Selangor.

"Pemimpin tertinggi dan ahli PAS harus sedar bahawa jasa yang mereka taburkan selama tiga tahun bersama dengan pakatan kini telah dikhianati.

"Selepas ini, urusan berkaitan hal ehwal Islam di Selangor akan lebih bercelaru memandangkan Khalid bukan datang daripada latar belakang yang mahir dengan selok-belok agama," katanya.

Khalid mengumumkan mengambil alih portfolio Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Awam selepas upacara  mengangkat sumpah jawatan dan taat setia exco baru di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, kelmarin di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi dilantik sebagai exco baru menggantikan Hasan yang telah dipecat keanggotaan parti awal bulan ini.

Sementara itu, Setiausaha Gabungan NGO Malaysia Mohd Jurit Ramli menggesa PAS memberikan penjelasan apakah parti Islam itu sudah tidak mempunyai calon yang layak untuk memegang portfolio itu.

Beliau turut mempersoalkan sikap berdiam diri pemimpin-pemimpin PAS kerana tidak mempertahankan portfolio itu, sebaliknya merelakan ia 'dirampas' PKR.

"Mana pergi suara-suara lantang dalam PAS, kenapa mereka tidak pertahankan portfolio agama yang seharusnya disandang oleh PAS, atau sudah tiada calon di Selangor layak pegang jawatan itu?" soalnya.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula berkata parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu seharusnya diberi hak memegang portfolio berkenaan kerana ia merupakan sebuah parti Islam yang berada di dalam kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

Beliau menjelaskan keputusan melantik Ahmad Yunus sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan dilihat telah mengurangkan peranan PAS sebagai sebuah parti Islam.

Namun katanya, keputusan pelantikan exco dan pembahagian portfolio merupakan hak Khalid sebagai Menteri Besar dan kerajaan di peringkat negeri.

''Saya tidak tahulah kalau ia (keputusan itu) merendahkan atau tidak (PAS), tetapi mungkin ada penilaiannya. Sepatutnya kalau kita lihat, PAS bukan hanya boleh laksanakan portfolio belia dan sukan.

''Tetapi saya tidak tahu hari ini PKR boleh berfungsi menjaga bidang agama walaupun PAS sebagai parti Islam seharusnya yang patut menyuarakan tentang Islam," katanya. -TMI

No comments:

Post a Comment