Minda Hijrah Headline Animator

Friday, December 23, 2011

Isu Dakwat Kekal : KENYATAAN SETIAUSAHA AGUNG PERKASA

Saya ingin mengulas kenyataan saya atas tajuk Perkasa Tolak Dakwat Kekal yang telah disiarkan baru-baru ini dalam laman web ini dan beberapa laman web berita lain yang mendapat reaksi negatif dari sesetengah pembaca. Namun tidak sedikit menyokong kenyataan saya itu. Apa pun saya perlu jelaskan kenyataan saya tersebut supaya semua pihak faham apa yang saya maksudkan.

 

Pertamanya ingin saya maklumkan bahawa kenyataan Perkasa berkaitan isu 'Dakwat Kekal' itu adalah pandangan saya secara peribadi. Kenyataan itu tidak mewakili Perkasa sama sekali.

 

Keduanya, apa yang saya ingin sampaikan dalam kenyataan saya itu adalah untuk pengetahuan pihak tertentu bahawa ramai di kalangan masyarakat Melayu yang tidak setuju akan penggunaan dakwat kekal dicalitkan pada jari pada PRU 13 nanti.

 

Sebagai Setiausaha Agung sebuah NGO yang sangat dikenali sekarang, saya sentiasa menjadi tempat orang-orang Melayu melepaskan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu isu negara. Bukan sedikit. Setiap hari ramai yang mengirim pandangan atau rasa marah terhadap pihak-pihak tertentu pada sesuatu isu melalui email, surat dan sms kepada saya.

 

Ianya termasuk juga isu dakwat kekal untuk PRU 13. Untuk isu ini terlalu banyak saya menerima maklum balas yang negatif sekali. Mereka ramai tidak menyokong. Isunya menjadi tanda tanya sama ada dakwat yang akan kekal untuk beberapa hari itu, ada masalah untuk mengerjakan solat dan lain-lain berkaitan mengerjakan ibadat atau tidak . Kata mereka walaupun diluluskan oleh badan Agama Islam sekalipun, mereka masih merasa was-was.

 

Biasanya orang Islam jika was-was dalam sesuatu perkara mereka tidak lakukan ataupun menolaknya. Ini yang menjadi kebimbangan saya. Saya bimbang jika mereka merasa was-was, mereka tidak akan keluar mengundi. Kenyataan saya tempoh hari saya tidak nyata pun menggesa ahli Perkasa dan orang Melayu jangan keluar mengundi. Saya memaksudkan bimbang mereka tidak keluar mengundi.

 

Dengan kurangnya pengundi Melayu keluar mengundi nanti, sudah pasti ada pihak yang mendapat kesan buruk dan ada pihak mendapat kesan cukup baik. Bila mengatakan ada pihak yang akan mendapat kesan buruk daripada kekurangan pengundi Melayu keluar mengundi, saya lihat inilah satu agenda sesetengah pihak akan mencapai objektifnya.

 

Apa yang saya nyatakan di atas adalah pandangan dari pelbagai pihak yang menolak penggunaan dakwat kekal pada PRU 13. Kita perlu juga mendengar pandangan mereka. Itu yang saya rasa perlu ketengahkan hal ini.

 

Untuk menghindar pengundi dari mengundi dua atau tiga kali ada banyak caranya. Mengapa penggunaan dakwat kekal dipilih. Yang menjadi persoalan saya, benarkah ada pengundi mengundi dua kali sebelum ini? Tuduhan ada pengundi melakukan dua kali kerap dikaitkan dengan parti memerintah. Apakah ia benar? Jika benar mengapa beberapa negeri jatuh ke pihak lain pada PRU12. Kalau benar, mengapa kerajaan yang ada tidak dapat mengekalkan lebih 2/3 kerusi di Parlimen?

 

Saya juga ingin menyentuh sindiran Mahfuz Naib Presiden PAS yang bertanya "ini fakwa siapa? Fatwa Perkasa" atas kenyataan saya itu. Kepada YB Mahfuz perlu ingat apa yang saya nyatakan bukan orang Melayu Perkasa atau UMNO, ia juga termasuk Melayu dalam PAS juga. Melayu dalam PAS orang Islam juga. Mereka pun pasti ada was-was dalam penggunaan dakwat kekal itu. Saya nyata kebimbangan saya termasuk Melayu dalam PAS juga. Kalau UMNO dan PAS hilang kuasa maknanya hilanglah kuasa Melayu. Perlu diingat mainan mereka. Boleh jadi ada calon bebas dari kalangan orang bukan Melayu diletakkan di kawasan Melayu UMNO dan Melayu PAS bertanding yang jumlah pengundi Melayu hanya 65%-70%. Bukan Melayu 30%-35%. Jika pengundi Melayu tidak keluar mengundi lebih 20% disebabkan dakwat kekal, tinggalah 45%-55% pengundi Melayu. Terbahagi dua pula pengundi Melayu tak sampai 30% tinggal. Pengundi bukan Melayu punya rekod keluar mengundi tinggi. Solid 35% kepada mereka, kawasan majoriti Melayu akan menjadi hak mereka. Kerusi di Parlimen mungkin mereka boleh kuasai lebih dari separuh. Maka hilanglah kuasa Melayu. Itu yang membimbangkan saya.

 

Kepada YB Mahfuz, cukup-cukuplah bermain politik. YB orang politik tak semua hal perlu di politikkan. Ingat juga kuasa Melayu, asyik syok berpolitik tak perasan pihak lain susun strategi merampas kuasa bangsa sendiri. Apa pun saya tak hairan dengan pemimpin PAS seperti Mahfuz ini. YB ni hanya pentingkan kerusinya saja. Hak dan kuasa Melayu kemudian kira. Kalau kuasa Melayu hilang tidak mengapa walau hanya tinggal satu kerusi untuk beliau. YB seperti sudah biasa menjadi barua dan pencacai.

 

Akhir sekali saya ambil kesempatan pada kenyataan peribadi saya ini untuk mengajak semua ahli Perkasa dan orang Melayu keluar mengundi pada PRU13 nanti bila mana pihak berkuasa Agama Islam mengesahkan bahawa dakwat kekal yang akan digunakan itu boleh dibawa solat dan lain-lain amal ibadat. Keluarlah tanpa ada rasa was-was dan pilihlah kerajaan yang benar-benar boleh menjamin kedudukan orang Melayu dan Bumiputera, Islam dan Raja-Raja Melayu.

 

Kemungkinan saya tidak keluar mengundi dalam kenyataan saya baru-baru ini, ia adalah hanya kemungkinan sahaja.

 

Sekian

 
Syed Hassan Syed Ali

Setiausaha Agung Perkasa.

1 comment:

  1. dakwat kekal apakebendanya kalau boleh cuci tak sampai 5 minit? kenapa tak desak supaya spr tindik je hidung2 para pemilih yg dh siap mengundi. gantungkan lambang spr dgn tulisan 'saya telah selesai mengundi'. habis cerita!!!

    ReplyDelete