Minda Hijrah Headline Animator

Friday, February 25, 2011

Tuduhan Nik Aziz amat serius - Dr. Mahathir

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, teguran yang dibuat oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terhadap beliau merupakan satu tuduhan yang amat serius seolah-olah menidakkan keislamannya.

Bekas Perdana Menteri itu juga berpendapat tindakan Nik Abdul Aziz membandingkan teguran yang dibuatnya dengan teguran malaikat kepada Nabi Muhammad SAW adalah tidak boleh diterima.

"Beliau membandingkan dirinya dengan malaikat yang menegur nabi. Saya bukan nabi dan Nik Aziz bukan malaikat. Nik Aziz dan saya hanya manusia biasa dan ahli politik. Teguran ahli politik kerana kepentingan politiknya tidak sama dengan teguran malaikat.

"Lagipun teguran Nik Aziz menidakkan keislaman saya, satu teguran yang amat serius.


"Apakah ada orang Islam yang tidak melenting jika sesiapa mengkafirkannya? Apakah Nik Aziz tidak akan melenting jika saya kata dia sudah kafir? Belum saya kata itu pun Nik Aziz sudah melenting," katanya di dalam blog http://chedet.co.cc/.

Entri terbaru Dr. Mahathir itu bagi menjawab kenyataan Nik Abdul Aziz dalam Utusan Malaysia pada 18 Februari lalu yang meminta bukti bahawa beliau pernah mengkafirkan orang UMNO.

Bekas Perdana Menteri itu turut menjawab dakwaan Nik Abdul Aziz bahawa beliau menganggap agama Islam hanya berkaitan sembahyang, puasa, nikah kahwin dan tengok anak bulan semata-mata.

"Memang pun bagi saya semua ini adalah sebahagian daripada ajaran agama Islam. Apa dianya yang saya tolak berkenaan agama dengan menjadi seorang nasionalis? Ini tidak diterangkan.

"Tetapi sebelumnya dia mendakwa 'sokong Pas ertinya sokong Islam'. Kita jadi Islam setelah mengucap dua kalimah syahadah. Apakah Nik Aziz berpendapat hanya setelah mengucap 'sokong Pas' baru jadi Islam dan sebelum itu kafir? Ini juga bermakna Nik Aziz mengkafirkan saya," katanya.

Dr. Mahathir berkata, tindakan Nik Abdul Aziz dan Pas memperkenalkan Islam kepada DAP sebelum ini juga adalah bukti menunjukkan bahawa parti itu telah dipengaruhi oleh DAP.

"Lihat sahaja tindakan biadab terhadap Sultan dan Raja Muda Perak oleh ahli Pas, berguling-guling atas jalan menghalang kereta raja. Sebelum berbaik dengan DAP, ahli Pas lebih berpegang kepada budaya Melayu.

"Kerana mahu sokong DAP, ahli Pas mengetepikan kemelayuan mereka. Dan sekarang tuntutan untuk mendirikan negara Islam pun sudah tidak didengari lagi," katanya.

Beliau berkata, apabila Lee Kuan Yew menyarankan supaya orang Islam di Singapura melonggarkan pegangan agama mereka, Nik Abdul Aziz tidak menolaknya kerana menganggap cadangan itu tidak seburuk nasionalisme orang Islam dalam UMNO.

"Sekarang Nik Aziz mahu Melayu diutamakan kerana mereka masyarakat majoriti di negara ini. Bukan masalah orang Melayu yang menyebabkan beliau mengubah pendirian terhadap bangsanya tetapi kerana Melayu menjadi majoriti dan dia memerlukan undi orang Melayu, tidak lebih daripada itu.

"Jadi kenalilah Nik Aziz, orang yang utamakan hanya undi orang Melayu, bukan keprihatinan terhadap masalah hidup mereka," tegasnya lagi.

1 comment:

  1. Kelayakan mcmmana Allah swt bagi pd seseorg utk senang "mengkafirkan" org lain. Jgn suka kafir mangkafirkan org lain..cermin diri sendiri! Ada seorang penyokong Pas telah memberitahu ibunya jika tidak memilih Pas..susah nak bau syorga. Tidakkah ini derhaka namanya..dan pernah siibu ni menjadi penyokong pas tetapi berubah apabila disuruh bayar RM100 utk berdaftar sebagai ahli pas. MassyaAllah....

    ReplyDelete