Minda Hijrah Headline Animator

Thursday, November 10, 2011

Hasrat DAP tidak wajar – Tun Mahathir

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan hasrat DAP untuk mengecilkan jumlah penjawat awam dengan memecat mereka merupakan satu langkah yang tidak wajar.
 
Namun katanya, DAP perlu menjelaskan terlebih dahulu kaedah yang akan digunakan mereka bagi memastikan kakitangan awam itu mendapat pembelaan sewajarnya.
 
Katanya, beliau juga pernah mengurangkan jumlah kakitangan kerajaan semasa pentadbirannya, namun penjawat awam itu diserapkan ke dalam syarikat berkaitan kerajaan.
 
''Bila mereka bekerja dengan syarikat, syarikat itu yang membayar gaji mereka, sekali gus kuranglah perbelanjaan kerajaan," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Program dari kaca mata Tun Dr. Mahathir Dilema Ekonomi Bangsa Malaysia di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, hari ini.
 
Dr. Mahathir dalam pada itu menyifatkan jumlah kakitangan awam kira-kira 1.3 juta ketika ini adalah wajar dan seimbang dengan jumlah penduduk Malaysia yang kini berjumlah 28 juta.
 
Beliau berkata, untuk mentadbir urus negara yang mempunyai penduduk sebanyak itu memerlukan kerajaan untuk meningkatkan jumlah kakitangannya.
 
Katanya, memberi contoh, kegiatan mencuri hasil kayu di Pulau Langkawi berlaku oleh kerana kurangnya penguatkuasaan berikutan jumlah kakitangan pegawai perhutanan kurang.
 
''Dahulu masa saya jadi Perdana Menteri, rakyat Malaysia hanya sebanyak 13 juta namun semasa saya berhenti, jumlah itu meningkat sehingga 26 juta. Jadi, takkan kita mahu mentadbir 26 juta rakyat tanpa memerlukan banyak kakitangan," katanya.

No comments:

Post a Comment