Saturday, March 16, 2013

Lahad Datu Terkini - Polis: Tiada tanda Azzimudie lolos



Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata tidak ada tanda yang membuktikan ketua militan Sulu, Azzimudie Kiram atau Agbimuddin Kiram telah melarikan diri ke selatan Filipina.
 
Katanya sehingga kini polis tidak mendapat sebarang petunjuk menyatakan Azzimudie yang mengetuai pencerobohan bersenjata ke atas Lahad Datu telah berada di selatan Filipina.
 
Laporan lolos itu mungkin hanya satu jangkaan dan kemungkinan besar juga Azzimudie masih berada di Lahad Datu, katanya.

"Tetapi, andai kata dia telah berada di selatan Filipina, ini jelas menunjukkan dia memang seorang yang tidak bertanggungjawab kerana membiarkan anak-anak buahnya di sini berhadapan dengan pasukan keselamatan," katanya hari ini ketika ditemu bual menerusi program Malaysia Hari Ini (MHI)terbitan TV3 yang disiar secara langsung.
 
Akhbar hari ini melaporkan ketua pengganas Sulu itu lolos ke selatan Filipina dan meninggalkan pengikutnya di Lahad Datu.
 
Berhubung operasi pembersihan, Hamza berkata bermula semalam pasukan keselamatan bertumpu di Kampung Tanjung Batu setelah operasi penggeledahan dan pembersihan di kawasan Sungai Nyamuk dan Kampung Tanduo selesai.
 
"Jika kawasan Tanjung Batu dapat kita bersihkan hari ini, insya-Allah kita akan boleh katakan Kampung Tanduo, Kampung Sungai Nyamuk dan Kampung Tanjung Batu adalah bersih," katanya.
 
Beliau berkata bagaimanapun anggota keselamatan tetap akan diletakkan di ketiga-tiga kawasan itu sebagai langkah berjaga-jaga.
 
Hamza turut menjelaskan hanya 15 pengganas ditembak mati pihak keselamatan dalam pertempuran di Kampung Tanduo pada 1 Mac lepas, bukan 27 seperti yang dilapor akhbar hari ini.
 
"Pada 1 Mac, seramai 12 musuh mati ditembak dan setelah selesai proses pembersihan kita menemui tiga lagi mayat semalam dan ia membawa kepada 15 musuh yang disahkan terbunuh pada hari pertama itu," katanya.
 
Sehingga kini, 10 anggota keselamatan gugur dalam insiden pencerobohan pengganas Sulu manakala 61 musuh ditembak mati.

3 comments:

  1. haha kejap bolos kejap tak lolos dah telipon dia tanya ke?
    psikologi

    ReplyDelete
  2. kaw nie pun sibuk biarlah polis dan atm buat keje

    ReplyDelete
  3. Adale sebabnya...kita nak bagi lolos...atau tak lolos.....kalo lolos...Dia mesti balik terus kena tembak...(Hukum melarikan diri dari pertempuran). Polis pon kena main piskologi...dan tektik...tertentu yg mereka belajo bang1...Insyaalah sebelum pengumuman PRU13...semua akan ok...

    ReplyDelete