Tuesday, March 5, 2013

Kerajaan Perlu Ambil Tindakan Keras Ke Atas Penceroboh, Ujar Tun Dr Mahathir



Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat sudah tiba masanya kerajaan mengambil tindakan keras terhadap pihak penceroboh selepas insiden pertumpahan darah di Lahad Datu dan Semporna, Sabah.
Beliau berkata walaupun kerajaan berhati-hati dalam menangani isu itu pada peringkat awal dan berharap ia dapat diselesaikan tanpa pertumpahan darah, malangnya ia tidak dihargai oleh mereka sehingga sanggup membunuh anggota pasukan keselamatan negara.

"Sekarang ini saya fikir tidak ada jalan lain melainkan kerajaan melancarkan serangan balas supaya dapat dihapuskan sama sekali pasukan Sulu ini walaupun dengan (tindakan) ini ramai mereka terbunuh, tapi ini tidak dapat dielakkan kerana mereka yang menyerang Sabah, bukan kita yang menyerang mereka," katanya kepada pemberita selepas memberi ucapan pada Himpunan Rakyat Perak anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di sini, hari ini.

Katanya tindakan keras yang diambil mungkin akan menyebabkan ramai daripada penceroboh itu mati serta anggota keselamatan negara akan menjadi mangsa.

Pada pendapatnya, insiden yang berlaku itu tidak akan tamat begitu sahaja kerana pihak penceroboh boleh melakukan serangan-serangan hendap pada masa depan.

Kerajaan diharap mengadakan persediaan awal menghadapi serangan berturut-turut pada masa akan datang, terutama keperluan terhadap pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk mengawal dan menyekat bot-bot yang datang dari kepulauan Tawi-Tawi yang mungkin membawa pasukan penceroboh atau menyeludup senjata, katanya.

"Perkara ini tidak boleh dipandang ringan walaupun pada mulanya kita ingat percubaan mereka itu untuk menawan Sabah sebagai percubaan yang sia-sia tetapi kita tahu mereka akan menjadi gerila dan akan melancarkan serangan pada masa depan," katanya.

Mengenai ada pihak yang mempertikai tindakan kerajaan yang memberi kuasa kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bertindak terlebih dahulu berbanding pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung pencerobohan tersebut, Dr Mahathir berkata negara mempunyai dua bahagian keselamatan.

"Kita bahagi keselamatan kepada dua bahagian iaitu yang datang dari luar yang biasanya tindakan diambil oleh tentera manakala yang berada di dalam negara adalah tanggungjawab polis. Pada mulanya kita tidak anggap pencerobohan itu sebagai serangan luar kerana mereka ini berada dalam wilayah kita," katanya.

Bagaimanapun, apabila pencerobohan dan serangan kini jelas datang dari luar maka difahamkan pihak tentera diarahkan untuk memgambil bahagian dalam tanggungjawab itu, katanya.

Mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan dilihat 'berlembut' dengan pihak penceroboh terbabit, beliau berkata sememangnya kerajaan tidak mahu mengambil tindakan sehingga membunuh kerana mereka juga mempunyai keluarga dan rakan sebagai warganegara di Sabah.

"Sebab itu kita berhati-hati bertindak begitu pada awalnya, lagipun mereka ini orang Islam, kita orang Islam, kita tidak mahu tergesa-gesa, tetapi mereka tunjukkan niat jahat dengan menembak dua anggota polis kita. Sekarang ini peristiwa ini tidak boleh dianggap boleh diselesaikan dengan rundingan," katanya.

Mengenai laporan media asing bahawa kedatangan penceroboh terbabit ke Lahad Datu adalah atas "jemputan" seorang ahli politik pembangkang, Dr Mahathir berkata ahli politik itu menjanjikan banyak perkara bagi Sabah termasuk memberikan kuasa autonomi jika pembangkang menang pilihan raya.

No comments:

Post a Comment