Pas tidak akan menarik balik keputusan Majlis Syura berhubung kalimah ALLAH walaupun Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh meminta untuk kaji semula.
Setiausaha Majlis Syura, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh berkata, pendirian itu tidak akan berubah seperti yang dijelaskan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas bermesyuarat dengan pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat.
Beliau berkata, Majlis Syura telah menetapkan bahawa kalimah ALLAH tidak boleh digunakan dalam Bible versi Bahasa Melayu, dan tidak akan mengkaji semula pendirian tersebut.
"Terdapat dua situasi yang membabitkan isu ini, pertama adalah terjemahan kitab Bible dalam Bahasa Melayu tidak dibenarkan menggunakan kalimah ALLAH menggantikan God atau Lord.
"Kedua, masyarakat bukan Islam yang menghadiri majlis keramaian dan ceramah Pas tidak dihalang untuk menyebut Allahuakbar (contoh), kerana itu adalah hak mereka," katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Nik Zawawi turut melahirkan kebimbangan kerana sekiranya kontroversi tersebut tidak dihentikan akan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Katanya, ketetapan yang diputuskan Majlis Syura itu terdapat dalam Islam dan tidak bercanggah dengan agama lain, khususnya Kristian.
"DAP perlu menerima dengan baik keputusan yang telah dipersetujui ini. Kenapa isu ini dibangkitkan pada hari ini sedangkan ia tidak menimbulkan masalah sejak beratus tahun dulu," katanya.
No comments:
Post a Comment