Minda Hijrah Headline Animator

Wednesday, February 19, 2014

Kelab Chedet : Seminar Kassim Ahmad - Anti Hadis ?




Admin menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membuat siasatan ke atas kandungan 'Seminar Kassim Ahmad: Suatu Penilaian' yang berlangsung baru-baru ini. Jika benar, Dr.Kassim Ahmad adalah seorang anti-hadith maka tindakan patut diambil. Di samping itu, admin berharap suatu debat atau dialog ilmiah diadakan di antara ulama yang betul-betul pakar dan berfikiran terbuka (bukan Islam Liberal tapi bukan jenis menghukum, melabel orang) dalam ilmu hadith dengan Dr. Kassim Ahmad. 


Admin dulu pernah menganggap Dr. Kassim Ahmad sebagai anti-hadith, tapi sesudah mengkaji dengan lebih cermat (berdasarkan penulisan-penulisannya terkemudian) wujud justifikasi bahawa beliau bukan menolak hadith sepenuhnya dan tuduhan ini turut dinafikan olehnya. Admin mula mengenal tulisan beliau sejak seusia 14 tahun lagi apabila membaca buku tulisan ‘Hadis- Satu Penilaian Semula’ yang seorang abang admin (dia pensyarah matematik di Universiti Malaya, dia bukan orang agama dan bukan juga pengikut Dr. Kassim Ahmad) tinggalkan buku itu di kampung.

Admin juga sudah membeli dan membaca buku memoir beliau ‘Mencari Jalan Pulang – Daripada Sosialisme kepada Islam’ beberapa tahun lalu. 

Mengikut hukum Islam, sesiapa yang menolak hadith adalah kafir dan jika dia benar menolak hadith maka beliau boleh jatuh kafir. Berat tuduhan jika admin menuduh beliau kafir sedangkan ia adalah sebaliknya, maka tuduhan kafir itu kembali kepada admin.

Sabda Nabi Muhammad SAW:
إِذَا كَفَّرَ الرَّجُلُ أَخَاهُ فَقَدْ بَاءَ بِهَا أَحَدُهُمَا
Maksudnya: “Apabila ada seseorang yang mengkafirkan saudaranya maka salah satu dari keduanya akan tertimpa kekufuran.” [HR Muslim]

Maaf jika admin berterus terang dan jika pun dianggap menghukum. Sejujurnya admin nampak Dr. Kassim Ahmad dulunya memang jelas menolak hadith kerana beliau amat jahil tentang ilmu hadith sekalipun beliau bersikap kritikal dalam cubaan mengkaji dan menilai hadith. Ironinya beliau kelihatan marah orang suka menghukum beliau tapi beliau sendiri kelihatan menghukum ulama termasuk Imam Asy-Syafi'i RH. 

Dr. Kassim Ahmad sepatutnya mengkaji ilmu hadith dengan metodologi yang betul dari orang yang betul-betul pakar, berautoriti, bukannya mengkritik hadith pada hadith-hadith yang sudah dipastikan ada kecacatan atau dipertikaikan oleh para muhadditsin (ulama ahli hadith). Admin tengok dulu beliau membicarakan hadith pada hadith yang mungkar, atau yang sudah jelas dhoif (lemah), dhoif jiddan (sangat lemah) dan maudhuk (palsu). Peliknya beliau dilihat kritikal kepada hadith tetapi asas pengajian hadith pun beliau tidak faham.

Admin sedar orang akan mengaitkan seminar ini dengan tokoh politik yang admin amat sanjungi iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad. Apa yang admin tahu, Dr. Mahathir sendiri memberitahu beliau tidak pun setuju dengan semua pemikiran bekas Pengerusi Parti Sosialis Rakyat Malaysia (1966-1984) itu. Seminar tersebut sebenarnya bukan anjuran Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) tetapi ia hanya menjadi lokasi seminar sahaja dan mantan PM itu diberi penghormatan untuk merasmikannya. Ketua Jawatankuasa Penaja seminar tersebut ialah Tuan Haji Nik Abdul Aziz Nik Hassan. Beliau ialah pengasas Parti Keadilan Nasional (KeADILan), bekas Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Kelantan dan sehingga kini masih menjadi ahli PKR yang mendukung Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim). Tulisan pemikirannya boleh dibaca di sini:

Nik Aziz Nik Hassan ialah bekas pensyarah Jabatan Sejarah, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan dan bekas Ketua Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). 

Nik Aziz Nik Hassan adalah cicit kepada kepada Mufti Ke-3 Kelantan di bawah pemerintahan Sultan Muhammad Ke-IV, Almarhum Haji Wan Musa bin Abdul Samad @ Tuan Tabal (1875-1939). Datuknya pula Almarhum Tuan Guru Haji Nik Abdullah bin Haji Wan Musa (1900-1935) ialah seorang ulama pembaharuan terkenal di Kelantan yang terlibat dalam perdebatan anjuran Raja Kelantan, Tengku Ibrahim Ibni Sultan Muhammad IV mengenai bekas jilatan anjing yang berlangsung di Istana Seri Cemerlang, Kota Bharu pada tahun 1937. (Rujuk gambar)

Almarhum Tuan Guru Haji Nik Abdullah Haji Wan Musa ialah seorang ulama hadith yang mendalami ilmu agama di Makkah. Beliau membawa balik ijazah kitab-kitab hadith yang dianugerahkan kepada beliau oleh gurunya Maulana asy-Syaikh Ubaydullah al-Sindhi RH yang membawa sanad hadith daripada al-Imam asy-Syaikh Mahmud al-Hasan al-Deobandi RH atau dikenali juga dengan gelaran Syaikh al-Hind (1851-1904) melalui jalan sanad Syah Waliyullah al-Dihlawi RH (1703-1762) yang terus bersambung kepada kepada Rasulullah SAW mengikut syarat-syarat yang dikehendaki dalam pengajian isnad hadith.

Arwah ayah admin juga adalah antara anak murid yang mempelajari Tariq Syah Waliyullah al-Dihlawi dari Almarhum Tuan Guru Haji Nik Abdullah Haji Wan Musa dan adiknya, Almarhum Tuan Guru Haji Nik Muhammad Salleh Haji Wan Musa (1920-1971). Arwah ayah admin juga merupakan sahabat sepengajian aliran ini bersama-sama bekas Menteri Besar Kelantan, Almarhum Datuk Haji Mohamed Bin Nasir (1916-1997). Bahkan bapa bekas Menteri Besar Kelantan (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) iaitu Almarhum Tuan Guru Nik Mat bin Raja Banjar (1905-1977) juga pernah sama-sama arwah ayah admin menuntut aliran ini. (Arwah ayah admin jika masih hidup usianya lebih kurang 100 tahun, kad pengenalan lahir 1915, usia sebenar lebih tua). 

Pandangan aliran ini memang nampak kritikal dan suatu masa dahulu dipandang asing oleh orang awam kerana mempunyai pandangan yang berbeza dengan kefahaman ulama setempat yang masih rigid berpegang kepada Mazhab Syafi'i semata-mata. Dari bacaan admin kepada karangan dan jilidan kitab-kitab lama ajaran ini, mereka sangat kuat berpegang kepada Al-Quran. Tetapi bukan bermakna mereka menolak hadith, bahkan mereka menguasai dan mempelajari hadith secara kritikal dan sangat mementingkan keshahihan sesuatu riwayat dan kemuwatirannya. Sebenarnya minat admin mempelajari hadith sehingga kini pun kerana admin mendalami aliran ini sejak kecil lagi termasuk dengan mendapat pencerahan dari ahli-ahli keluarga dan sahabat karib arwah ayah admin, Almarhum Ustaz Jaafar al-Hafiz (1910-2002) yang juga pendukung Tariq Syah Waliyullah ini di Kelantan.

Nik Aziz Nik Hassan merupakan antara pendukung Tariq Syah Waliyullah dan menyebarkannya sehingga kini. Saya difahamkan dalam seminar Dr. Kassim Ahmad ini juga, beliau turut mengeketengahkan sebahagian pendirian aliran ini.

Mengaitkan pemikiran Dr. Kassim Ahmad dengan tokoh-tokoh yang admin sangat sanjungi seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad (negarawan ulung) dan Hujjatul Islam Syah Waliyullah Ad-Dihlawi RH (mujaddid Islam terkemuka) bukan bermakna admin tidak boleh mengkritik atau membidas sebarang kekarutan pemikiran Dr. Kassim Ahmad. Admin bukanlah seorang yang taksub membuta tuli kepada sesiapa tanpa bersikap adil dan amanah dalam ilmu. Yang salah tetap salah, yang benar tetap benar. 

Sayyidina Ali bin Abi Thalib RA pernah berkata:
لا تنظروا إلى من قال انظروا إلى ما قال
Maksudnya: “Janganlah kamu lihat kepada siapa yang berkata, lihatlah kamu kepada apa yang dikatakan." [Dinukilkan oleh Imam Jalaluddin as-Suyuthi dari Ibn as-Sam'ani dalam Tarikhnya] 

Allahua'lam

Penulis adalah Exco Kelab Chedet dan sebarang komen boleh dirujuk di FB Kelab Chedet 

No comments:

Post a Comment